PEMULIH bantu rakyat hadapi pandemik

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang menyediakan banyak insentif diharap dapat melegakan rakyat ketika pandemik Covid-19 masih menular.

Pesuruhjaya PAS Perlis Mohd Shukri Ramli berkata, pakej PEMULIH sangat dinantikan rakyat memandangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) dilanjut sehingga nilai ambang kes Covid-19 kurang 4,000 kes sehari.

Katanya, PAS Perlis mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Kerajaan Persekutuan yang mengambil maklum keperitan rakyat khususnya golongan miskin tegar, peniaga kecil dan golongan yang berpendapatan harian.

- Advertisement -

“Daripada tinjauan awal yang dibuat, rakyat sememangnya ternanti-nanti pengumuman semalam lebih-lebih lagi selepas pelaksanaan PKP3.0 diteruskan.

“Alhamdulillah setelah meneliti butiran lengkap pakej yang terbaharu ini, lebih ramai rakyat akan menerima manfaat berbanding sebelum ini,” katanya ketika dihubungi di sini.

Isnin lepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan PEMULIH yang melibatkan peruntuk sebanyak RM150 bilion yang memberi tumpuan meneruskan agenda prihatin rakyat, menyokong perniagaan dan meningkatkan vaksinasi.

Mohd Shukri yang juga Adun Sanglang berkata, khabar baik yang diumumkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) disambut gembira rakyat yang sudah lama ternanti-nanti.

Beliau juga berharap semua pihak henti berpolitik sempit kerana ia merugikan rakyat ketika mereka benar-benar memerlukan bantuan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Saya merayu semua pihak bersama berganding bahu dengan kerajaan untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) agar rakyat dan negara dapat keluar daripada kesukaran yang dihadapi dengan segera,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/6/2021

- Advertisement -