Keutamaan kesihatan mental ketika Bekerja Dari Rumah (BDR)

- Advertisement -

BERDASARKAN Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) terkini, tiga daripada setiap 10 dewasa berusia 16 tahun ke atas akan menderita masalah kesihatan mental. Sebelum itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengiktiraf kesihatan mental sebagai keutamaan kerana statistik masalah mental semakin meningkat dan ia diramalkan sebagai penyebab utama kecacatan. Statistik ini mempunyai kesan yang pasti terhadap populasi pekerjaan dan harus ditangani dalam konteksnya.

Gangguan psikologi agak bervariasi dan penyebabnya adalah kompleks serta ia merangkumi faktor pekerjaan dan bukan pekerjaan. Oleh kerana masa bekerja merangkumi sebahagian besar ruang kehidupan kita, keadaan pekerjaan boleh dianggap sebagai pengaruh yang meluas pada keadaan keseluruhan kesejahteraan individu.

- Advertisement -

Apatah lagi di dalam keadaan pandemik COVID-19 ini, masa bekerja sudah banyak berada di rumah iaitu ‘Bekerja Dari Rumah (BDR)’. Ini sudah pasti ia mengundang lagi pelbagai tekanan yang berbeza. Tidak semua yang mampu menyediakan tempat kerja yang kondusif apabila bekerja dari rumah.

Kesan COVID-19 juga menembusi setiap lapisan masyarakat dari semua sudut. Walaupun tujuan sekatan pergerakan sosial adalah untuk melindungi daripada jangkitan, ia secara tidak sengaja telah membawa risiko memburukkan lagi kesihatan mental.

Kajian yang diterbitkan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mendapati golongan berpendapatan rendah mempunyai kadar masalah kesihatan mental dan penyakit kronik lebih tinggi. Justeru itu perlu ada cara dan pendekatan bagi menangani masalah ini. Majikan perlu mengambil tanggungjawab untuk memastikan kesihatan mental pekerja mereka adalah seimbang kerana kebanyakan orang menghabiskan satu pertiga hari dengan pekerjaan.

Diharap pegawai keselamatan dan kesihatan (SHO) perlu menyusun dan mengaturkan program bagi membantu majikan menangani masalah mental pekerja. Antaranya menyokong aktiviti sosial maya yang positif dan menggalakkan keseimbangan kerja-kehidupan untuk memastikan pekerja mereka sihat dari segi fizikal dan mental.

Mereka juga perlu dilatih bagaimana untuk mewujudkan persekitaran bekerja sihat dari rumah dan menyediakan khidmat kaunseling untuk pekerja mereka bagi membincangkan sebarang masalah serta menyelesaikannya dan mencari cara lebih baik menguruskannya. Di samping itu jangan lupa sentiasa tenangkan hati dengan zikrullah!

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan ‘zikrullah’. Ketahuilah dengan ‘zikrullah’ itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

(Ar-Ra`d: 28)

Oleh:

TS. SHAHRONIZAM NOORDIN
Pengamal Keselamatan dan Kesihatan. – HARAKAHDAILY 29/6/2021

- Advertisement -