Soal jawab pandemik COVID-19 (Siri 2)

- Advertisement -

APAKAH itu variant of concern bagi virus yang menyebabkan COVID-19?

Variant of concern
 (VOC) atau varian yang dipantau merujuk kepada virus SARS-CoV-2 yang telah mengalami perubahan ketara pada maklumat genetik (mutasi) sehingga menjadikan ia lebih merbahaya berbanding virus asal.

- Advertisement -

Varian ini sama ada mempunyai kebolehjangkitan yang tinggi, mampu mengelak dari dikenalpasti oleh sistem ketahanan badan atau menyebabkan jangkitan yang lebih parah. 

Bagaimana cara varian dikenalpasti? 

Varian boleh dikenalpasti melalui kaedah penjujukan genom (genomic sequencing). Jujukan genom bagi varian kepada virus yang diuji akan dibandingkan dengan virus asal bagi melihat perbezaan maklumat genetiknya. 

Penerima vaksin mengalami demam, sakit kepala dan lain-lain kesan sampingan ringan selepas menerima vaksin. Apakah yang berlaku sebenarnya? 

Apabila seseorang menerima vaksin, badan akan bertindak balas bagi menghasilkan imuniti terhadap protein bagi virus. Demam adalah salah satu cara bagi sistem badan mengurangkan kemampuan atau menyekat virus berkembang biak (virus memerlukan suhu badan yang normal bagi berkembang biak apabila berlaku jangkitan secara semulajadi). Mengalami simptom ringan (demam, sakit kepala dan lain-lain) adalah tanda badan kita sedang bekerja menghasilkan imuniti terhadap protein virus. Namun tidak bererti jika kita tidak mengalami simptom ini, badan kita tidak menghasilkan imuniti selepas menerima suntikan vaksin. 

Seseorang yang sedang mengidap jangkitan virus SARS-CoV-2 penyebab COVID-19, wajarkah dia menerima vaksin? 

Vaksin COVID-19 tidak ditawarkan kepada individu yang tidak sihat atau sedang mengalami simptom jangkitan sehingga pesakit sembuh. Kebiasaanya 4 minggu bermula selepas tarikh pesakit tersebut disahkan positif COVID-19 atau setelah bermulanya simptom.

Adakah seseorang yang telah mengalami jangkitan virus SARS-CoV-2 masih perlu mengambil vaksin COVID-19? 

Ya, individu tersebut perlu mengambil vaksin. Tiada bukti yang menunjukkan mereka yang telah mendapat jangkitan, menunjukkan tindak balas yang tidak selamat terhadap vaksin yang diberikan.

Kongsikan ketidakpastian anda berkaitan pandemik COVID-19 ke HarakahdailyInsya-Allah kami akan cuba membantu.

والله اعلم 

DR. HANI’AH ABDULLAH 
Anti-infective virologist
Alderley Park – HARAKAHDAILY 28/6/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -