Pasca-Kapitalisme: Kenapa ekonomi kini semakin menjerut?

- Advertisement -

SEJAK isu ekonomi dunia dibincangkan di awal ‘kehadiran’ COVID-19, saya merasakan punca utamanya ialah Sistem Kapitalisme. Sehari demi sehari, dengan kekal utuhnya sistem itu, semakin itulah isu ekonomi semakin meruncing, khususnya di Malaysia.

Ada beberapa artikel mengenai Kapitalisme yang saya tulis secara santai di awal kehadiran COVID-19. Tak terfikir rupa-rupanya ada juga Jurnalis Barat, Paul Mason yang turut menulis perkara yang sama yang bertajuk ‘Will coronavirus signal the end of capitalism?

Beliau mengulas mengenai kejatuhan ekonomi pada 2008, dan beliau pernah menulis tulisan yang lebih kurang sama pada 2015, ‘The end of capitaism has begun’, dan bukunya ‘Post-Capitalism: A Guide to Our Future’. Istilah Post-Capitalist merujuk kepada keruntuhan Kapitalisme.

- Advertisement -

Sebelum itu, pada 1993, Peter Ducker ada menulis buku yang bertajuk ‘Post-Capitalist Society’ yang menyatakan bahawa transformasi ekonomi ke arah Pasca Kapitalisme ini akan selesai antara 2010 hingga 2020. Bahkan, perkara yang sama pernah dibincangkan ketika awal kemunculan Sosialisme dan seterusnya Anarkisme.

Apabila membaca buku-buku sejarah falsafah dan pemikiran, semakin kuat saya merasakan bahawa kita hari ini perlu membiasakan diri untuk bebas daripada sistem Kapitalisme ini secara ansur-ansur. Ini kerana, Kapitalisme atau Ideologi-ideologi Barat yang lain sudah banyak menunjukkan ‘tarikh luput’nya.

Apabila sesuatu ideologi itu semakin menghampiri tarikh luputnya, semakin itulah ideologi baru akan muncul, dan mengkritik ideologi yang lama itu. Ataupun ada penganut fahaman ideologi lama itu, meng’update’ ideologinya itu agar bersesuaian dengan semasa. Ia dikitar semula.

Banyak yang boleh dijadikan contoh. Sejak zaman Dark Ages, rata-rata gereja bangga dengan aliran Stoicisme dan Neo-Platonisme. Namun, pada zaman Skolastik, mereka mula beralih kutub pemikiran mereka kepada membawa semula idea Aristotle.

Sejak kemunculan Liberalisme, wujud pula Liberalisme Klasik. Apabila Liberalisme Klasik sudah semakin luput, orang Barat mewujudkan pula Liberalisme Moden, dan mengkritik Liberalisme Klasik. Kemudian apabila Liberalisme Moden semakin malap, mereka bawa semula Liberalisme Klasik dan olah menjadi baru, sehingga melahirkan Neo-Liberalisme.

Sama juga ceritanya dengan Modenisme yang sarat dengan dunia sainsnya. Modenisme pernah menjadi kebanggaan barat satu ketika dahulu sehingga terpahat dalam kamus sejarah pemikiran mengenai Revolusi Industri, Revolusi Sains dan macam-macam. Sampai satu masa, muncul pula orang Pasca-Modenisme yang melihat bahawa semua idea-idea falsafah zaman Modenisme itu hanyalah sembang kosong.

Begitulah kitarannya, yang tak pernah terhenti. Setiap zaman, masing-masing mendakwa idea mereka yang ‘paling sejagat’. Maksudnya paling sesuai untuk diamalkan di seluruh dunia dan sepanjang zaman. Rupa-rupanya ada tarikh luputnya. Begitulah Kapitalisme.

Dalam sejarah Kapitalisme, yang digagaskan oleh Adam Smith, beliau ‘mengusahakan’ satu sistem untuk memulihkan ekonomi dunia Barat. Namun, setelah ia diimplementasikan, ia ‘dibangkang’ dan dikritik berbakul-bakul kerana melahirkan sistem itu penindas. 

Kapitalisme walaupun kembar seiras dengan Liberalisme, namun ada juga tokoh Liberalisme sendiri yang menolak Kapitalisme sehingga munculnya Liberalisme Moden yang saya ada ceritakan tadi. Liberalisme Moden sendiri melihat Kapitalisme ini melahirkan para penindas.

Sebelum kewujudan Kapitalisme, masing-masing bekerja mengusahakan tanah sendiri. Hidup bermasyarakat, saling memenuhi keperluan sesama masyarakat. Ketika itu, buruh menawarkan tenaganya, dan dibayar dengan upah minimum melalui sistem tawar menawar dalam pasaran buruh.

Setelah muncul Kapitalisme, apa yang terjadi di Barat ketika itu? Perindustrian yang semakin maju dengan teras Kapitalisme telah mendorong masyarakat luar bandar meninggalkan pertanian mereka, untuk pergi ke bandar. Ini kerana pertanian bukan lagi fokus masyarakat moden lah kononnya. 

Apabila bilangan buruh semakin ramai di bandar sehingga melebihi paras permintaannya, ia menyebabkan upah buruh semakin rendah. Bukan setakat itu, keringat mereka itu diperguna oleh golongan tauke yang menjadikan golongan ini semakin kaya, dan golongan buruh semakin terhimpit. 

Fenomena penindasan ini melahirkan ideologi Sosialisme (Karl Marx). Asalnya nak menghapuskan sebarang monopoli dan pemilikan, tetapi terheret kepada penindasan baru. Apabila kepala-kepala Sosialisme mula memaksa orang untuk menerima dasar mereka. Setelah Sosialisme itu dilihat gagal, lahir pula Anarkisme. Segalanya berkitar.

Setiap zaman, masing masing cuba ‘try hard’ untuk mencari solusi bagi krisis hidup masing-masing. Begitulah kita hari ini di Malaysia. Kerajaan tersepit, rakyat pula terhimpit. Politikus pula mencari peluang untuk ‘menyumpit’, dan pastinya ada yang tersumpit.

Apabila melihat data, sektor perkilangan ‘menyumbang’ kepada kes positif COVID-19 yang tinggi. Rakyat fikir, tutuplah kilang. Kerajaan pula fikir, nanti pelabur lari dan kerugian berbillion. Bila rugi, nak beli vaksin pun kena fikir panjang. Tauke kilang pula, ada yang ‘concern’ dan ada yang hanya fikir ‘asal duit jalan, nyawa pekerja apa kisah’.

Tauke mesti tak nak rugi. Jadi, bila susah nak operasi, mereka boleh tutup kilang, atau berhentikan pekerja. Dia boleh alihkan modal untuk projek lain pula. Apabila pekerja kilang hilang pekerjaan, rasa sedih menghurung diri. Ada yang katakan bila kilang ditutup, boleh jadi lebih ramai rakyat yang terjejas. 

Inilah realiti belenggu Kapitalisme yang dilaungkan dan dibanggakan oleh Barat. Siapa yang selamat? Tauke. Siapa yang merana? Rakyat yang sudah terbelenggu dengan sistem ini. Jadi, apa solusinya? Bagaimana jalan untuk keluar dari penjara Kapitalisme ini?

Islam dah sediakan solusi dan jalan penyelesaian untuk mengekang COVID-19 dan mengimbanginya dengan ekonomi. Para ulamak perlu memandu kerajaan dan masyarakat untuk memahami pengimbangan itu dengan ilmu, bukannya dengan neraca Kapitalisme. Kalau ulamak pun terbeku dengan bab Qunut dan wirid lepas solat, bilakah Islam itu boleh turun ke dada ummat?

Maqasid penjagaan nyawa perlu diterjemahkan dalam sistem negara, bukan sekadar dibiarkan terpahat berteori dalam kitab. Ini peranan ulamak. Jangan biarkan kerajaan teraba-raba mencari pedoman dalam jeriji Kapitalisme yang mungkin semakin menghampiri tarikh luputnya.

Kerajaan pula perlu membuka wacana perbincangan atau penyelidikan untuk lebih mengenali dan memahami sistem penyelesaian Islam ini. Di Malaysia ramai saja Pakar Ekonomi Islam, ahli akademik dan para Sarjananya. Bersama-samalah mencari jalan keluar daripada belenggu ini. 

Dalam Islam bukan hanya ada sumbangan one off atau kotak makanan sahaja. Ada dalam bentuk sistem, penguatkuasaan, dan sebagainya yang boleh menipiskan Kapitalisme itu, seterusnya melicinkan lagi aliran kitaran ekonomi yang sedang ter’stuck’ disebabkan Kapitalisme.

Ibnu Khaldun dalam karyanya al-Muqaddimah berpendapat bahawa Maqasid sebuah negara adalah kesihatan dan keselamatan. Ini kerana, keutamaan bagi sebuah negara adalah nyawa rakyatnya. Ya, ada yang kata perlu diimbangi dengan ekonomi. Silakanlah, imbangilah dengan cermat.

Saya sangat optimis bahawa ekonomi Islam adalah satu-satunya solusi. Kapitalisme boleh dinipiskan secara beransur-ansur. Sekiranya ada yang jadikan perbezaan ideologi politik Ahli Parlimen itu sebagai halangan, berdialoglah. Kebenaran itu ada pada Islam, pasti ada hujahnya!

MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 28/6/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100051781123067/posts/287792736290095/

- Advertisement -