Gambaran ekonomi Islam

- Advertisement -

GAMBARAN

(1)     Perbahasan hukum dalam Islam terbahagi kepada 4 yang terutama, iaitu ibadat, pernikahan, ekonomi dan undang-undang (law).

Cumanya susunan setiap ulamak di sepanjang zaman, tak semuanya sama. Adakalanya berbeza. Contohnya ada kitab Feqah yang dimulakan dengan Tauhid.

Ada yang memulakan dengan perbahasan Taharah (bersuci). Ada yang selepas Bab Solat terus masuk ke Bab Zakat. Banyak lagi susunan yang berbeza-beza.

(2)     Sebelum ini saya ada menulis beberapa artikel berkenaan dengan ‘Kapitalism’. Dalam artikel kali ini kita membincangkan secara kasar gambaran ekonomi Islam.

Ini kerana permasalahan yang melanda Kapitalis, dan turut sama Sosialis, rata-rata membincangkan bab ekonomi. Justeru, sangat wajar untuk kita gambarkan bagaimana pula ekonomi Islam.

(3)     Ekonomi Islam bukan semata-mata muamalat yang dipelajari di kampus-kampus. Akan tetapi skop itu lebih luas dan pelaksanaannya perlu menyeluruh.

Bukan sekadar mencari jalan untuk menghalalkan jual beli, tetapi mencari penyelesaian kepada krisis sebenar terhadap harga barangan yang dijual contohnya.

Contohnya satu ketika dahulu, dalam pembelian kereta, asalnya ada unsur riba (interest), akan tetapi di‘adjust’ menjadi البيع بثمن آجل sehingga ia halal.

Islam bukan hanya muamalat

(1)     Apa yang dimaksudkan dengan penyelesaian Islam, bukanlah sekadar terikat dalam dengan mualamat. Akan tetapi perlu diluaskan kepada skop ekonomi Islam.

Ekonomi inilah yang akan membawa kepada keadilan serta menghapuskan kezaliman. Contoh dalam bab harga kereta tadi, keretanya halal dibeli tetapi harganya kekal melambung.

a-     Melambungnya harga kereta disebabkan cukai, dan juga terdapat elemen Kapitalism. Harga yang tinggi dikatakan boleh diselesaikan dengan loan. Hakikatnya ia adalah bebanan.

Walaupun kereta itu halal dibeli, tetapi unsur penindasan itu masih ada, antaranya percukaian yang sangat tinggi. Tetapi disebabkan keperluan, manusia tetap membelinya.

Syarikat kereta akan kekal kaya seperti biasa. Bank juga begitu. Siapa yang tersepit? Jawapannya ialah rakyat. Apatah lagi dibebani dengan cukai jalan dan tol merata-rata.

(2)     Justeru, Islam itu perlu dilaksanakan secara syumul. Tidak boleh hanya laksanakan muamalatnya sahaja dengan meninggalkan cabang-cabang ekonomi yang lain.

Kesemuanya perlu diadun untuk mewujudkan keseimbangan dan membawa sistem yang adil untuk semua. Bukan hanya mengkayakan kroni.

Cabang ekonomi Islam

(1)     Secara asasnya ekonomi Islam terbahagi kepada;

a-     Tax System (Percukaian)

b-     Commercial Transactions (Muamalat)

c-     Natural Resources (Hasil Bumi)

d-     Land Governance (Pengurusan Tanah)

e-     Others

Dalam kaedah feqah juga ada menyebut;

- Advertisement -



الأصل في مال الغير التحريم

“Hukum asal bagi mengambil harta orang lain adalah haram.”



Sekiranya ada dalil yang menghalalkan, barulah dikira halal. Di sana, ada lagi kaedah yang hampir sama dengan kaedah ini.

(2)      Di dalam percukaian, Islam memperkenalkan konsep zakat, jizyah, dharibah dan usyur. Kesemua ini terdapat huraiannya.

Sistem percukaian ada sempadan pengharaman. Iaitu diharamkan atas faktor باطل  (tidak syarie) dan دولة بين الأغنياء (menguntungkan orang kaya)

(2)       Commercial Transaction dikenali sebagai ‘muamalat’ saya nyatakan di awal tadi. Iaitu urusan yang melibatkan pertukaran milik, jual beli atau sebagainya.

Kebebasan bermuamalat ini tersekat dengan dengan riba, gharar dan batil. Apabila wujudnya tiga unsur ini, transaksi itu dikira haram oleh Islam.

Riba adalah bunga (interest), gharar secara kasarnya adalah unsur-unsur penipuan, manakala batil pula ialah urusan transaksi secara tidak syarie.

Hasil bumi dan tanah

(1)     Natural Resources ialah pengurusan hasil bumi yang mesti diagihkan secara adil dan seimbang. Contohnya emas atau bahan galian yang lain.

Perkara ini diadaptasi daripada Hadis Nabi S.A.W:



المسلمون شركاء في ثلاث: في الماء والكلإ والنار

“Orang Islam itu (di dalam sanad yang lain menyebut manusia) berkongsi pada tiga perkara, air, padang rumput, dan api.”



Justeru, ia tidak boleh dimonopoli oleh pihak-pihak tertentu. Sempadan pengharamannya dengan unsur دولة بين الأغنياء iaitu kekayaan hasil bumi dibolot oleh orang-orang kaya sahaja.

Contohnya yang terjadi hari ini ialah air diswastakan kepada golongan korporat sehingga menyebabkan orang kaya terus kaya dan orang miskin terus terbeban dengan bil air.

(2)     Land Governance pula ialah pengurusan tanah yang banyak saya huraikan dalam artikel-artikel sebelum ini. Khususnya berkaitan harga tanah yang melambung.

a-     Kebebasan memiliki tanah disempadani dengan pengharaman الحمى. Mana-mana urusan pemilikan tanah yang ada unsur ini dikira haram.

Contoh yang terjadi hari ini, apabila seseorang korporat ingin merembat 3500 hektar tanah, dia akan bernego dengan Menteri Besar yang berkuasa meluluskan pemilikan tanah.

b-     Kemudian, setelah lulus, maka tanah seluas itu akan menjadi milik orang korporat tadi, untuk dibangunkan menjadi kawasan perumahan dan sebagainya.

c- Bayangkan, modal orang korporat tadi untuk memiliki 3500 hektar adalah ‘kosong’. Kemudian orang ini menjual kepada pemaju dengan harga berjuta ringgit.

Manakala pemaju pula akan meletakkan harga hartanah yang menggila kepada pembeli. Siapa yang tersepit dengan harga hartanah yang melambung kalau bukan rakyat?

Banking dan loan

(1)     Asas ekonomi Islam yang saya ceritakan di sini sekadar asas. Setakat ini belum ditemui (WaLlahuaklam) kitab khas yang disusun oleh Ulamak terdahulu dalam bab ekonomi.

Para Ulamak terdahulu menyusun perbahasan ekonomi ini dalam bab yang berbeza dan terpecah-pecah secara berasingan dalam kitab feqah.

Contohnya bab zakat (percukaian) selepas Bab Solat. Manakala Bab Dharibah, Usyur dan Jizyah dalam bab lain. Sedangkan kedua-duanya adalah sistem percukaian dalam Islam.

(2)     Di awal tadi saya ada ceritakan tentang cabang ekonomi Islam, iaitu Commercial Transaction yang mempunyai tiga cabang, iaitu banking, takaful dan capital market.

Walaupun ada bank yang memiliki ciri-ciri ‘Islamic’ tetapi masih lagi wujud sistem riba yang disediakan sebagai optional (pilihan). Perkara ini perlu diperhalusi.

(3)     Contoh yang lain, sistem pinjaman (loan) yang sedia ada tidak mengikut sistem Islam. Ini kerana bagi peminjam yang tidak mampu bayar hutang, kesemuanya akan di ‘blacklist’.

Sedangkan kaedah dalam Islam, membezakan antara peminjam yang memang tak mampu untuk bayar dan peminjam yang enggan bayar hutang bank.

(4)     Bagi peminjam yang memang tidak mampu membayar hutang bank, hasil kutipan cukai  negara boleh digunakan untuk membantu melangsaikan hutangnya.

Maka, bank akan dapat hasilnya semula, manakala peminjam tadi akan dapat melepaskan diri daripada kemiskinan. – HARAKAHDAILY 9/12/2019

- Advertisement -