PPV Masjid inisiatif membuka penerimaan umat Islam

- Advertisement -

KETIKA CITF membincangkan kaedah mempelbagaikan inisiatif membuka penerimaan umat Islam terhadap usaha Vaksin COVID-19, saya telah mencadangkan bagaimana jika ia dilaksanakan melalui pembukaan Pusat Vaksinasi di masjid-masjid yang mempunyai kemudahan yang sesuai.

Masjid mempunyai peranan yang besar di kalangan umat Islam bukan semata-mata sebagai tempat ibadah khususiah sahaja. Ia pusat tumpuan umat Islam yang sepatutnya menjadi pusat solusi permasalahan ummah. Begitulah peranan masjid sejak zaman Rasulullah S.A.W lagi.

- Advertisement -

Hospital dalam sejarah Islam, antara lain turut mula-mula dibina di dalam masjid. Tingkat bawah tanah. Diberi nama bimaristan. Ketika pandemik di zaman Ibnu Sina, perkara yang sama dilakukan. Masjid menjadi pusat rawatan dan kuarantin. Tiada jamaah solat seperti biasa.

Di Mesir, bimaristan bawah tanah dikekalkan sebagai bahan sejarah di tingkat bawah Masjid Sultan Hassan, Kaherah. Saya pun pernah menganjurkan Khatan Perdana, program derma darah di Masjid. Biasalah, akan ada suara sumbang. Tetapi secara umumnya ia memberi banyak kebaikan kepada orang ramai.

Hari ini PPV Masjid adalah satu inisiatif yang dilaksanakan di seluruh dunia termasuk di Eropah yang mendapat sambutan sangat baik. PPV Masjid telah memperbetulkan tanggapan serong bukan-Islam bahawa agama Islam tidak menyokong usaha menangani COVID-19 melalui vaksin. Ia juga mendorong umat Islam hadir menerima vaksin.

YB Khairy Jamaluddin telah mengarahkan saya memulakan projek perintis PPV Masjid. Saya mulakan dengan perbincangan dengan Dato’ Osman Muda, Yang Di Pertua Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu MAIDAM Terengganu sebagai pihak berkuasa agama di Terengganu yang terus di bawah KDYMM Tuanku Sultan Terengganu.

Saya cukup berterima kasih kerana rancangan ini disambut baik malah dicadangkan ketika itu untuk memulakan dengan Masjid Abidin, iaitulah Masjid Negeri. Malah YDP MAIDAM sedia untuk mengaturkan agar diperoleh kebenaran menggunakan parking dalam pagar Istana Maziah bersebelahan untuk kemudahan yang hadir.

Mesejnya adalah ia bermula dengan masjid utama di Negeri Terengganu. Dan prinsip penting adalah SOP dipatuhi, tiada penggunaan ruang solat. Gunakan kemudahan yang ada di masjid misalnya bilik kuliah, perpustakaan dan klinik masjid.

Namun oleh kerana Jabatan kesihatan Negeri Terengganu berpendapat ia terlalu hampir dengan Hospital Sultan Nur Zahirah yang juga menjadi PPV, maka masjid lain yang agak jauh dari PPV sedia ada dicadangkan oleh jawatankuasa bersama MAIDAM, JHEAT, JKNT dan NGO PAPISMA yang menggerakkan sukarelawan perubatan.

Ia mengambil tempoh dalam seminggu untuk membincangkan SOP, flow yang sesuai untuk elakkan timbul permasalahan. Alhamdulillah sejak dimulakan di Masjid At-Taqwa di Durian Burung, ia berlangsung dengan baik dan tiada sebarang isu.

Masalah berbangkit bila saya menerima maklumat ada negeri yang telah memulakan juga outreach di Masjid tanpa merujuk SOP kepada CITF Pusat. Lalu tersebar gambar ruang solat digunakan untuk suntikan. Malah ada yang gunakan untuk ruang menunggu dengan disusun kerusi.

Sebaik menerima maklumat ini, saya telah dengan segera menghubungi Exco Kesihatan Negeri berkenaan memaklumkan supaya diambil langkah pembaikan untuk mengelakkan gambaran negatif yang merosakkan usaha murni ini. Saya sendiri telah turun ke padang dan memberikan teguran.

Ada Pegawai Kesihatan yang beri alasan kepada saya bahawa mereka guna ruang solat sebab tak ada ruang lain yang sesuai dan lapang untuk tujuan itu di masjid berkenaan. Saya maklumkan alasan itu tidak boleh diterima.

PPV Masjid boleh dibuka hanya jika kemudahan di masjid yang berkenaan adalah bersesuaian. Jika tak sesuai, ia sepatutnya dari awal tidak dibenarkan. Kita bukan minta setiap masjid buka PPV. Kita ada lebih banyak lagi jenis PPV lain yang dibuka. Dewan Orang Ramai, Balairaya, Klinik Kesihatan.

Saya telah mengarahkan supaya kesilapan yang sama tidak diulangi dan penambahbaikan dibuat. Susulan kejayaan pelaksanaan projek perintis PPV Masjid, saya telah meminta inisiatif ini dikembangkan dengan garis panduan yang ditetapkan. Kerajaan sedang mempertimbangkan lebih banyak kelonggaran dibuka mengikut tahap pencapaian Pelan Pemulihan Negara.

Cadangan supaya mereka yang telah selesai menerima 2 dos suntikan vaksin COVID-19 dan telah melepasi tempoh 15-20 hari dari dos kedua vaksin yang diperlukan untuk mencapai tahap perlindungan yang disasarkan agar diberi kelonggaran pergerakan misalnya boleh bermesyuarat fizikal , boleh masuk ke masjid untuk solat berjamaah dan pelbagai kelonggaran sedang dipertimbangkan dan akan diputuskan jika bersesuaian.

DATUK AHMAD AMZAD HASHIM
Timbalan Menteri
Sains, Teknologi dan Inovasi
28 Jun 2021 – HARAKAHDAILY 28/6/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/1648702528579939/posts/4129189323864568/

- Advertisement -