50 peratus penduduk di Pasir Puteh daftar vaksinasi

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

PASIR PUTEH:
Sehingga sekarang hampir 50 peratus daripada 90,000 penduduk di kawasan Parlimen Pasir Puteh sudah mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Ahli Parlimen Pasir Puteh Dato’ Dr Nik Zawawi Salleh berkata, seramai 16,000 daripada jumlah itu sudah mendapat suntikan dos pertama, manakala 8,000 mendapat dos kedua.

Kata beliau, pihak pengurusan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Pasir Puteh menyasarkan komuniti kelompok akan dapat dicapai menjelang September.

- Advertisement -

“Perangkaaan itu diambil kira sekiranya bekalan vaksin Covid-19 yang ditempah kerajaan dari luar negara sampai dalam tempoh ditetapkan,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksi (PPV) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Tok Bali di sini, hari ini,

Menurutnya juga dua PPV yang terdapat di Pasir Puteh iaitu di APMM dan Majlis Daerah Pasir Puteh mampu memvaksikan sebanyak 1,300 individu sehari.

Katanya jumlah itu tidak termasuk bilangan penduduk yang menerima suntikan di pusat-pusat vaksinasi bergerak.

Dr Nik Zawawi juga berkata, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pasir Puteh menyediakan kenderaan mengangkut penduduk yang kurang berkemampuan ke PPV bagi mendapat suntikan vaksin secara percuma.

“Tumpuan diberi kepada golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas yang tinggal di kawasan pedalaman bagi memudahkan mereka hadir kepada PPV seperti temujanji ditetapkan,” ujarnya.

Beliau juga berkata, kaunter pendaftaran dibuka di empat Pusat Khidmat Dun (PKD) di Pasir Puteh iaitu PKD Limbongan, PKD Gaal, Selising dan Semerak bagi memudahkan orang ramai membuat pendaftaran program vaksinasi. – HARAKAHDAILY 28/6/2021

- Advertisement -