Lebih 1 juta ahli LPP divaksin Julai, Ogos

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

PASIR PUTEH:
Lebih satu juta ahli Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di seluruh negara akan divaksinasi dalam tempoh Julai hingga Ogos ini.

Pengerusi LPP, Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, berkata kerajaan sudah memberi jaminan akan memberi keutamaan memandangkan peladang antara golongan penyumbang terbesar ekonomi negara.

- Advertisement -

“Namun buat masa ini kira-kira 10 peratus sahaja mereka menerima dos pertama dan kedua,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan kepada  71 rumah di Taman Seri Purnama  yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Kampung Nara di sini, hari ini.

Dr Nik Zawawi yang juga ahli Parlimen Pasir Puteh berkata,  sebelum ini sebahagian besar mereka yang tinggal di kampung-kampung sukar untuk mendaftar terutama  dalam aplikasi MySejahtera sebagaimana ditetapkan  kerajaan kerana mereka tiada kemudahan itu.

“Bagaimanapun mereka  kini tidak perlu lagi risau kerana kerajaan  sudah memberi  jaminan akan memberi keutamaan  terutama  jika pengeluaran vaksin dalam negara yang kini sedang dibangunkan dapat dipercepatkan,” katanya.

Mengenai bantuan kepada penduduk di Taman Perumahan terbabit beliau  berkata, kerajaan Persekutuan  membelanjakan antara RM100 hingga RM250 kepada setiap keluarga bagi meringankan beban mereka yang tidak berkerja.

Katanya, bantuan itu berupa barang-barang keperluan basah dan kering termasuk beras, gula, ikan, sayur, ayam termasuk susu bayi dan pampers bagi keluarga yang mempunyai anak kecil.

Sementara itu, Penolong Ketua Jajahan Pasir Puteh, (Pembangunan) Mohd Azwan Ab Rahman berkata, mana-mana pihak yang ingin menyumbang  bantuan kepada mereka terbabit mereka perlu melalui Ketua Jajahan yang  bertindak sebagai  Pengerusi  Pusat Kawalan Operasi Bancana  (PKOB).   

Katanya,  bantuan itu akan diserahkan kepada Jabatan Angkatan Pertahanan Awam  Malaysia  (APM)  untuk diagih-agihkan kepada penduduk mengikut  Prosedur  Operasi Standard (SOP). – HARAKAHDAILY 26/6/2021

- Advertisement -