TEMERLOH: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) PAS Kawasan Temerloh terus giat menggerakkan aktiviti kebajikan menerusi penyampaian bantuan kepada penduduk yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Inisiatif keprihatinan ini adalah sebagai menunaikan tanggungjawab sesama manusia setelah pula masing-masing kini terhad untuk melakukan rutin harian seperti biasa berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Demikian itu, usaha menyelaraskan bantuan berkonsep dari rakyat kepada rakyat ini telah diteruskan apabila PKP 3.0 bersambung semula dengan senarai penerima merentasi bangsa, agama dan fahaman politik.
Sebagai contoh, satu majlis ringkas penyampaian sumbangan PKP diketuai Pengerusi LKK, Siti Baksa Mahidin telah melibatkan 20 keluarga kaum Cina dan india di Taman Sri Kemuning, dekat sini baru-baru ini.
Mewakili penduduk, L Ramasamy mengucapkan jutaan terima kasih di atas keprihatinan tersebut dan mengajak semua penduduk agar sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.
Yang Dipertua PAS Temerloh, Md Jusoh Darus berkata, program seumpama ini merupakan rutin utama PAS apatah lagi jika ia melibatkan kebajikan sebahagian besar rakyat.
“Pengalaman ketika mengumpul dan mengagih sumbangan banjir sangat membantu.
“Tak lupa penghargaan buat Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Temerloh kerana sentiasa prihatin dan cakna dengan keperluan masyarakat sekitar,” tambah beliau lagi. – HARAKAHDAILY 25/6/2021