Orang Melayu paling terkesan projek PSR

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Pulau Pinang menuntut kerajaan negeri menjelaskan sejauh mana projek tambakan di Gurney Drive mampu memberi peluang pekerjaan kepada nelayan Tanjong Tokong.

- Advertisement -

Tuntutan itu dibuat selepas kerajaan negeri beberapa kali mendakwa projek tambakan laut di Selatan Pulau Pinang (PSR) menjanjikan peluang pekerjaan kepada nelayan yang terkesan akibat penambakan itu.

Menurut Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff, alasan projek mega yang diusahakan Kerajaan Pulau Pinang mampu menjanjikan peluang pekerjaan merupakan helah kerajaan negeri.

Katanya, helah itu merupakan teknik terdesak yang digunakan kerajaan negeri Pulau Pinang.

“Alasan bahawa PSR menjanjikan peluang pekerjaan dianggap hanya mempermainkan rakyat. Ternyata kerajaan DAP semakin terdesak sekarang.

“Penambakkan Gurney Drive yang mengorbankan rezeki nelayan Tanjong Tokong. Berapa banyak peluang pekerjaan yang nelayan boleh dapat?

“Tak kiralah projek siapa punya, yang pastinya kerajaan DAP terbabit memberi kelulusannya,” ujar beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Kebelakangan ini, tular beberapa poster yang difahamkan ada kaitan dengan NGO kerajaan Pulau Pinang yang mendakwa projek PSR memberi manfaat kepada rakyat.

Kata Fauzi poster Penang Tolak Tambak Penipu merupakan tindakan terdesak kerajaan negeri bagi membohongi rakyat.

Menurutnya tindakan segelintir pihak menyebarkan informasi bahawa Penang Tolak Tambak Penipu itu seperti menegakkan benang yang basah setelah ditekan pihak yang turut serta bersolidariti bersama NGO.

“Sekiranya mereka dakwa Penang Tolak Tambak penipu, ini bermakna semua pihak yang tampil bersama badan bertindak Penang Tolak Tambak itu sama-sama penipu belaka.

“(Sedangkan) kumpulan sokongan itu terdiri daripada badan berautoriti termasuk Jabatan Perikanan, Persatuan Nelayan, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NGO, Ahli Parlimen PKR (PH), parti-parti politik, kariah Masjid Sungai Batu, kariah Masjid Teluk Kumbar dan rakyat Pulau Pinang.

“Siapa majoriti komuniti kawasan tersebut. Majoriti nelayan di situ orang Melayu. Penduduk di lokasi terbabit orang Melayu. Maknanya yang paling terkesan pastinya orang Melayu,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/6/2021

- Advertisement -