PMBK bantu rakyat miliki rumah mampu milik

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) antara agensi yang memain peranan membina projek Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK) untuk membantu rakyat memiliki kediaman sendiri.

Eksekutif Kanan Pembangunan Perniagaan PMBK, Zarina Ismail berkata, antara projek yang dilaksanakan agensi itu iaitu di Kampung Meranti, Pasir Mas.

Katanya projek terbabit mempunyai 59 unit kediaman iaitu 16 bernilai RM500,000 manakala bakinya bernilai RM130,000.

- Advertisement -

Beliau berkata, projek terbabit yang dirasmikan pecah tanah oleh Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob empat tahun lalu kini hampir 50 peratus siap.

“Sebelum ini kita sudah buat penyerahan 98 unit RMMK di Taman Wadi Iman Kok Lanas bersama dengan PMBK Development.

“Projek RMMK akan datang pula dijangka bermula pada tahun 2022 di Kampung Bunut Susu, Tendong di Pasir Mas,” katanya pada bual bicara mengenai RMMK di Kelantankini di sini semalam.

Beliau berkata, PMBK merupakan antara agensi yang melaksanakan agenda kerajaan negeri untuk menyediakan RMMK yang sesuai dengan kemampuan rakyat bagi kategori B40 dan M40.

Zarina berkata, kerajaan negeri membuka borang permohonan projek perumahan itu dan boleh didapati di Bahagian Perumahan di Kompleks Darulnaim dan Pejabat PMBK Development di Bandar Baru Tunjong.

Katanya kerajaan negeri menetapkan syarat yang ketat setiap permohonan bagi memastikan penerima RMMK menepati kriteria untuk mendapat kediaman sempurna di bawah harga pasaran.

“Borang ini perlu diisi yang disertakan dokumen berkaitan seperti salinan surat nikah, pengesahan pengawa, penghulu dan wakil rakyat di kawasan masing-masing.

“Bagi yang bekerja sendiri perlu mendapat perakuan dari penghulu, pengawa dan pesuruhjaya sumpah yang akan dinilai termasuk mendapat pembiayaan perumahan dan undian lot,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau pembinaan projek itu terpaksa dihentikan buat sementara waktu kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP) yang bermula sejak awal Jun lalu bagi menyekat penularan Covid-19. – HARAKAHDAILY 23/6/2021

- Advertisement -