Mampu atasi cabaran faktor Kedah diyakini pelabur luar

- Advertisement -

ALOR SETAR: Cabaran untuk membawa masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke negeri ini bukanlah mudah kerana perlu memenuhi segala insentif diminta terutama melibatkan banyak persiapan asas yang penting.

Exco Pelaburan Kerajaan Negeri, Dato’ Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata, pelabur memerlukan jaminan kesediaan tenaga kerja, kepakaran serta utiliti seperti elektrik, air, tanah mencukupi dan kemudahan komunikasi tinggi.

Ceritanya, Risen Solar Technology Sdn Bhd membawa FDI RM42.23 bilion untuk 15 tahun atau tiga fasa sehingga tahun 2035 dengan setiap fasa RM13 dan RM14 bilion ke Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP).

- Advertisement -

Jelas beliau, syarikat tersebut bersetuju meningkatkan pelaburan sebanyak itu dari cadangan asal dan selama tempoh itu setelah melihat keupayaan KHTP memenuhi segala insentif dipohon oleh pihak mereka.

Begitu juga katanya, Austria Technologie and Systemtechnic AG (AT&S) yang membawa pelaburan RM8.5 bilion tidak melihat KHTP satu-satunya pilihan mereka tetapi turut membuat tinjauan dan perundingan ke Thailand dan Vietnam.

Demikian itu terangnya, persaingan sangat hebat berlaku di mana permulaannya AT&S hanya mahu melabur Euro500 juta atau RM2.5 bilion dengan keperluan 550 jurutera dan saintis bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Namun akhirnya menurut Dr Ku Rahman, memilih KHTP dengan pertambahan pelaburan kepada Euro1.7 bilion atau RM8.5 bilion serta memerlukan sekurangnya 100 jurutera dan saintis bagi pengoperasian mereka di negeri ini.

“Sebab kita kata kita boleh dapatkan, depa nak tahu di mana? Universiti mana yang nak bagi man power jurutera dan saintis ini? Dan kita sebutlah USM (Universiti Sains Malaysia), kita sebut UNIMAP (Universiti Malaysia Perlis), kita sebut UNIKL (Universiti Kuala Lumpur).

“Dia tanya macam mana you nak tingkatkan pengeluaran air yang sekarang ini dah lebih 100 milion liter sehari? Macam mana nak tambah? Bila boleh siap? All this ditanyakan. Itu cabaran ya.

“Dan kalau katakan kita punya utiliti companies tak dapat memenuhi kehendak ini, keperluan ini, kita ada masalah. Tapi alhamdulillah SADA (Syarikat Air Darul Aman) pun memberikan jawapan yang positif, dan meyakinkan. 

“Kemudian dari segi tenaga elektrik pun cabaran besar. Yang membekalkan tenaga elektrik untuk KHTP ialah Nur Power. Dia ada kapasiti sekarang dalam 205 (mega watt) 210 mega watt. Tapi dia license sehingga 440 (mega watt). 

“Dia orang (AT&S) hendak sampai 100 mega watt, dia tanya, macam mana you nak ramp up, untuk keperluan mereka di samping ada lagi kilang-kilang besar lain pun nak gunakan tenaga elektrik,” ujarnya menyifatkan penelitian pelabur sangat terperinci.

Menurut beliau, para pelabur ini juga memeriksa dengan para pelabur sedia ada dan para pemberi maklumat yang lain sebelum berpuas hati untuk memuktamadkan keputusan pelaburan akan dibuat ke negeri ini.

Malah, mereka juga katanya, melihat keperluan bekalan gas dan keupayaan perkhidmatan rangkaian komunikasi memenuhi capaian 4G dan 5G yang disediakan atau terdapat di situ bagi tujuan pengoperasian.

Tambah Dr Ku Rahman, selain KHTP serta beberapa lokasi lain di negeri ini yang menarik pelaburan dalam sektor pembuatan atau perkilangan, Langkawi pula menjadi perhatian pelabur dalam sektor perkhidmatan.

Jelasnya, industri pelancongan dan perhotelan turut menarik keinginan pelabur sebagaimana terdekat daripada Widad Group yang membawa nilai berjumlah RM40 bilion ke Pulau Langkawi khususnya.

Pembangunan setempat dan peluang pekerjaan anak negeri

“Kita nak kawasan-kawasan lain pun pelabur masuk ya. Sebab itu kita bangunkan Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap. Dia punya keluasan tanah dalam 1,200 ekar. Setakat ini dari segi pembangunan infra dan sebagainya sudah mencapai 65 peratus. 

“Insya-Allah by Mac 2022 fasa pertama 504 ekar akan siap untuk dimasuki oleh pelabur. Ini kira dah kuatlah, dekat RM2 bilion pelabur terutamanya untuk buat sarung tangan di situ. Kita cari kawasan-kawasan luar bandar untuk bangunkan industri pembuatan ini. 

“Sebab kita tak mahu kalau kita buat industri pembuatan di bandar-bandar di pekan-pekan besar, yang akan jadi pekerja di situ ialah pekerja asing macam Sungai Petani.

Kita nak bangunkan industri melalui pelaburan ini untuk berikan peluang pekerjaan kepada penduduk negeri Kedah. 

“Bukan kita nak bagi kepada penduduk daripada luar negara, pekerja-pekerja asing ya. Sebab itu saya kata dengan mereka, bangunkan kawasan luar bandar, contoh yang terbaik ialah kawasan Padang Terap KRC ini,” ujarnya

Beliau memberi contoh Aerospace Composites Malaysia Sdn Bhd yang membuat sayap kapal terbang Boeing dengan pelaburan berbilion ringgit di Bukit Kayu Hitam menggunakan 99 peratus tenaga pekerja anak tempatan. 

Begitu juga katanya, kilang tayar Continental Tyre AS Malaysia Sdn Bhd di Mergong dan Inokom Corporation Sdn Bhd pemasang kereta BMW di Padang Meha Kulim turut menggunakan tenaga 99 peratus pekerja tempatan.

“Kita juga bangunkan kawasan Kedah Science and Technology Park (KSTP) di Bukit Kayu Hitam. Keluasannya berjumlah lebih daripada 2,000 ekar. 300 ekar sudah sedia untuk dimasuki oleh pelabur. 

“Northern Gateway akan bangunkan tanah di Bukit Kayu Hitam yang dimiliki sekarang oleh MoF Incorporated (seluas) 4,395 ekar dan dia akan bangunkan komersial, industri dengan syarikat besar pengeluar sarung tangan Hartalega Sdn Bhd yang melabur lebih RM6 bilion,” ujarnya.

Dato’ Dr Ku Rahman yang berpengalaman dalam pelaburan dan politik ini turut mengakui kestabilan politik dan cepatnya pengurusan kerajaan antara faktor pelabur selesa untuk datang ke negeri ini.

“Satu contoh yang utama sekali ialah Majlis Perbandaran Kulim dia boleh meluluskan kebenaran merancang dalam masa 10 bulan atau kurang. 

“Dan Setiausaha Kerajaan Negeri menyatakan bahawa, dia nak semua Majlis Tempatan yang lain untuk ikut sama supaya kita dapat mempercepatkan kelulusan kebenaran merancang. 

“Itu adalah salah satu tarikan yang besar bagi pelabur-pelabur yang akan datang untuk melabur ke negeri Kedah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/6/2021

- Advertisement -