Vaksin: Kerajaan tidak abai petugas media

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Seramai 13 petugas media Perlis yang bernaung di bawah Persatuan Wartawan Perlis (PWP) akan menerima suntikan dos pertama Covid-19 pada Khamis ini.

Presiden PWP, Mohamad Asri Shafii berkata, beliau mewakili petugas media Perlis merakam ucapan terima kasih kepada kerajaan kerana tidak mengabaikan warga media.

Katanya mereka bergerak sebagai barisan hadapan dalam membantu usaha kerajaan memerangi pandemik Covid-19.

- Advertisement -

“Dengan pemberian vaksin petugas media akan merasa lebih selamat dan selesa untuk bertugas memandangkan kami sentiasa berada di lapangan melaporkan berita kepada masyarakat.

Mohamad Asri Shafii

“Vaksin bukan membuatkan petugas media menjadi lebih kebal, tetapi ia lebih kepada sifat kawalan kendiri kerana setelah divaksinkan dan risiko yang rendah untuk dijangkiti,” katanya di sini.

Sebelum ini Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, lebih 5,000 petugas media akan menerima tarikh temujanji divaksinasi mulai Jun.

Manakala Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Azman Mohd Yusof berkata Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) menerima pemohonan daripada PWP dan senarai nama tersebut diserah kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis untuk tindakan lanjut.

“Sebenarnya saya menerima banyak permohonan agar proses suntikan vaksin dipercepatkan namun kita mempunyai justifikasi dalam menentukannya.

“Saya difahamkan bahawa JKN Perlis menetapkan tarikh untuk temujanji suntikan dos pertama vaksin Covid-19 bagi petugas media Perlis pada Khamis ini,” katanya semasa dihubungi hari ini.

Menurutnya juga petugas media antara golongan yang terdedah kepada risiko jangkitan kerana mereka kerap berada di lapangan bagi mendapatkan berita. – HARAKAHDAILY 21/6/2021

- Advertisement -