UMMAH sokong Jawankuasa Khas sidang Parlimen

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) meneliti kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan pembukaan sidang Parlimen sebagaimana yang dizahirkan oleh cadangan Yang di-Pertuan Agong bersama Mesyuarat Khas Raja- Raja Melayu pada 16 Jun yang lepas.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, UMMAH melihat kesediaan dan komitmen segera oleh Perdana Menteri menunjukkan kesepaduan dan kerjasama yang erat di antara beliau dan Yang di-Pertuan Agong yang mengutamakan keprihatinan dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, pengumuman Perdana Menteri bagi menubuhkan Jawankuasa Khas yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang dibentuk bagi meneliti aspek-aspek penting sebelum persidangan Parlimen diadakan, menunjukkan keterbukaan dan kesediaan untuk mewujudkan ‘genjatan sementara politik’ bagi meredakan suhu panas politik sebagaimana yang dizahirkan oleh Mesyuarat Khas Raja-Raja Melayu.

- Advertisement -

Menurutnya, jiwa besar yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri bagi mengutamakan agenda menyelamat rakyat dan negara dari wabak Covid-19 adalah lebih besar daripada kepentingan politik peribadi dan kepartian sebagaimana yang dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Mohd Zai Mustafa

“UMMAH menyokong supaya pembukaan Parlimen dengan segera dan segala prosesnya sewajarnya selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin berkata sebuah jawatankuasa yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang telah dibentuk untuk meneliti aspek-aspek penting sebelum persidangan Parlimen diadakan.

Beliau memberikan komitmen bahawa keputusan pembukaan persidangan Parlimen akan diputuskan oleh kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang di dalam jawatankuasa berkenaan.

“Saya minta jawatankuasa yang dianggotai wakil-wakil kerajaan dan pembangkang untuk nilai perkara berkenaan, dan selepas itu barulah mereka maklumkan kepada saya sama ada sudah bersedia atau tidak untuk memulakan sidang Parlimen.

“Sama ada persidangan akan dibuat secara hibrid atau fizikal, ini akan dirujuk kepada peraturan tetap yang ada sekarang,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.

Katanya kerajaan perlu memperhalusi semua perkara bagi mengelak timbul masalah selepas pelaksanaannya. – HARAKAHDAILY 21/6/2021

- Advertisement -