Pengambilan 18,702 guru bakal atasi banyak isu pendidikan

- Advertisement -

BERITA baik daripada kerajaan kepada graduan aliran pendidikan dan mereka yang bercita-cita menjadi ‘Pembina Anak Bangsa’. Alhamdulillah, masalah kekurangan guru selama ini akhirnya mempunyai penyelesaian. Masalah kekurangan guru adalah isu yang telah berpanjangan dan sering kali dibangkitkan oleh rakyat khususnya warga pendidik sebelum ini.

Kita sering mendapat aduan daripada guru yang terpaksa membuat kerja lebih masa dan di luar skop tugasan mereka sehinggakan ada yang tertekan dengan lambakan tugas, berhadapan dengan masalah psikologi yang berpanjangan dan juga menimbulkan masalah kepada keluarga mereka di rumah.

- Advertisement -

Apabila para guru tidak mampu memberikan fokus dan berhadapan tekanan, ini akan memberikan kesan kepada kualiti proses pengajaran anak-anak kita semua di sekolah. Tahniah saya ucapkan kepada Menteri Kanan Pendidikan, YB Senator Datuk Dr Radzi Jidin kerana memberikan keutamaan untuk menyelesaikan masalah ini.

Pengumuman YB Menteri Kanan Pendidikan bahawa KPM ada mengadakan pengambilan guru secara besar-besaran amatlah melegakan. Secara tidak langsung, inisiatif ini akan membantu dalam usaha kerajaan mengurangkan kadar pengangguran dalam negara khususnya buat anak-anak muda graduan aliran pendidikan.

Kita semua dimaklumkan bahawa sebanyak 18,702 kekosongan Pegawai Perkhidmatan Gred DG41 akan diiklankan pada 7 Julai 2021 dan penempatan akan dilakukan secara berperingkat bermula seawal Oktober 2021.

Kita juga dimaklumkan bahawa negeri-negeri yang mempunyai jumlah kekosongan guru tertinggi adalah Negeri Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor. Saya harap lebih ramai anak Sabah dan Sarawak dapat mengisi kekosongan di negeri mereka agar guru-guru daripada Semenanjung yang masih bertugas di sana dapat dipercepatkan proses mereka untuk berpindah melalui sistem e-GTukar.

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk memberikan beberapa cadangan kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia, antaranya ialah;

1. Memberikan peruntukan bantuan tambahan segera kepada anak-anak keluarga B40 seperti bantuan Tablet dan Bakul Makanan Asas untuk mereka berhadapan dengan PdPR.

2. Mewujudkan satu program untuk memberikan kefahaman kepada ibu bapa agar mereka boleh terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan proses PdPR.

3. Mewujudkan program motivasi secara dalam talian sama ada mengenai kecemerlangan akademik atau kepimpinan untuk para pelajar sekolah agar psikologi mereka dapat diperkasa ketika berada di rumah dan melalui PdPR.

Taniah kepada YB Senator Menteri Kanan Pendidikan dan tahniah juga buat barisan Pengurusan Kanan Kementerian Pendidikan di atas usaha yang proaktif dan praktikal ini.

“Teguh Kita Menang Bersama”

YB SENATOR IR. TS. HJ. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 21/6/2021

- Advertisement -