Cabaran PdPR di pedalaman tidak halang pelajar cemerlang

- Advertisement -

Oleh NORZANA RAZALY

JELI: Cabaran terpaksa berulang alik sejauh 7 kilometer ke Pusat Internet Komuniti (PIK) dan internet yang kerap terputus ketika sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menjadi cabaran bagi pelajar di pedalaman.

Pelajar Maahad As-Sabirin Ayer Lanas, Nur Adibah Mazlan, 18 berkata, selepas balik dari sekolah beliau terus ke PIK untuk sambung belajar. Katanya beliau belajar di PIK bermula jam 3 hingga 6 petang.

- Advertisement -

“Dalam masa tiga jam itulah sahaja waktu yang ada untuk saya fokus kepada pelajaran secara atas talian.

“Ramai pelajar kampung bertumpu di Pusat Internet Komuniti. Tetapi malangnya selalu terganggu kerana talian terputus terutamanya ketika hujan,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pengalaman PdPR di rumah juga mencabar antaranya ketika menyertai kelas menggunakan aplikasi Zoom, tiba-tiba ada pelajar terkeluar dengan sendiri.

Kata beliau, keadaan itu membuatkan emosinya dan kawan-kawan lain begitu terganggu kerana tidak dapat mengikuti pembelajaran dengan lancar.

Namun cabaran itu tidak sia-sia apabila Nur Adibah muncul sebagai pelajar terbaik peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 Maahad As-Sabirin Ayer Lanas.

Anak sulung daripada empat beradik itu memperolehi 10A selepas mendapat keputusan berkenaan minggu lepas.

Beliau turut berharap kerajaan dan agensi berkaitan menyegerakan langkah menaik taraf sistem telekomunikasi di kawasan desa bagi memudahkan sesi PdPR.

Beliau turut berkongsi teknik belajar semasa PKP dengan memberi tumpuan penuh semasa kelas sedang berlangsung.

Selain itu, respon segera sekiranya guru bertanya dan menyiapkan tugasan yang diberi serta banyak mengulang kaji pelajaran. – HARAKAHDAILY 16/6/2021

- Advertisement -