Kerajaan terus orak langkah di sebalik perangi pandemik

- Advertisement -

BARU-baru ini Kerajaan Malaysia pimpinan YAB Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Mohd Yassin telah mengumumkan satu Pelan Pemulihan Negara dengan menyasarkan kejayaan perangi COVID-19 selewatnya hujung tahun 2021.

Dewan Pemuda PAS Perak menyatakan sokongan penuh bersama Kerajaan Malaysia dengan pengumuman Pelan Pemulihan Negara kerana ia suatu langkah yang sangat jelas, terarah dan strategik. 

Kerajaan meletakkan tiga indikator penting bagi menilai keadaan semasa lanjutan fasa iaitu, pertama, dinilai berdasarkan bilangan jangkitan kes harian. Kedua, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil wad ICU. Ketiga, tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

- Advertisement -

Tiga indikator ini adalah signal jelas menjadi tumpuan kerajaan saat ini. Tambah pula, memandangkan kadar vaksinisasi telah mencapai purata 200,000 orang setiap hari dengan jumlah terkini penerima suntikan vaksin sebanyak 4.5 juta orang. Pemuda PAS Perak yakin pelan ini akan menatijahkan hasil yang baik.

Usaha ini wajar disambut bersama oleh seluruh rakyat. Peringkat Dewan Pemuda PAS Perak, kami sedang menggerakkan kempen #KitaMestiMenang dengan ditunjangi dua teras utama iaitu #DudukRumah dan #MohVaksin sebagai inisiatif sokongan untuk perangi pandemik COVID-19.

Semalam pula, para graduan mendapat berita gembira bila mana Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin mengumumkan pengambilan khas guru baharu secara one-off sebanyak 18,702 kekosongan. Sudah pasti ia adalah usaha kerajaan untuk memastikan pemulihan dan survival para graduan dan pelajar-pelajar terus terpelihara.

Kami mengharapkan agar seluruh rakyat dapat menekuni dan patuh terhadap saranan-saranan pihak kerajaan agar hasrat #MenangBersama dapat dicapai selewat lewatnya hujung tahun ini.

MOHD ZAHID ABU BAKAR
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Perak – HARAKAHDAILY 21/6/2021

- Advertisement -