Pelan Pemulihan Negara bukti PN serius tangani wabak

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan kerajaan baru-baru ini memperlihatkan kesungguhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk keluar daripada pandemik Covid-19.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kedah Abdul Hadi Omar berkata, Kerajaan PN di bawah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat bersungguh-sungguh keluar daripada kemelut wabak sekarang.

Katanya, agenda pemulihan itu diharap dapat mengurangkan kesan ekonomi serta kesihatan terhadap rakyat.

“Kerajaan PN fokus memerangi pandemik Covid-19, bahkan mengurangkan politiking jika dibandingkan pembangkang yang dilihat asyik mengejar kuasa,” ujar pada kenyataan di sini.

Baru-baru ini Perdana Menteri mengumumkan PPN sebagai strategi peralihan keluar daripada kemelut pandemik Covid-19 yang merangkumi empat fasa.

Ia membabitkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana pembukaan penuh semua sektor pada November atau Disember depan.

Malah Julai hingga Oktober akan menentukan sama ada pelan yang mampu mengembalikan atau tidak kehidupan normal dengan kelonggaran pelbagai SOP.

Abdul Hadi juga berkata, berdasarkan data terkini lebih 20.46 peratus rakyat Malaysia telah menerima vaksin dan sasaran mempercepatkan vaksinasi bagi menyakinkan pelabur.

Kata beliau kerajaan mengambil kira aspek kesihatan sebagai elemen penting yang menjadi penilaian serius usahawan dan pelabur dalam pembangunan ekonomi.

Malah katanya juga Program Sukarelawan Vaksin yang dijalankan berjaya dimanfaatkan di mana sebanyak 221,706 dos berjaya dibekalkan pada 17 Jun lalu.

“Selain berdoa kepada Allah, kerjasama orang ramai menjaga prosedur operasi standard (SOP) sangat penting untuk menyokong sepenuhnya Pelan Pemulihan Negara sebagai salah satu ‘exit plan’ negara,” tambah beliau.

Menurutnya juga Pemuda PAS Kedah sentiasa menyokong dan memberi kerjasama setiap program yang dilaksanakan kerajaan negeri terutama berkaitan program bantuan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Oleh itu beliau menyeru semua pihak agar menyokong dan menerima pelan pemulihan tersebut sebagai ikhtiar walaupun segala musibah dan wabak adalah daripada Allah untuk menguji hambaNya.

“Kerajaan yang bergantung harap kepada Allah pasti akan kekal dicintai rakyat dan dapat membina keharmonian kepada seluruh rakyat tanpa mengira agama dan kaum.

“Oleh itu kita benar-benar mengharapkan tertegaknya sebuah negara yang disifatkan ‘negara yang aman damai’ dalam masa yang sama mendapat keredaan Allah,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 21/6/2021

- Advertisement -