Perak benar korban tertakluk SOP ketat

BAGAN SERAI: Kerajaan Perak membenarkan pelaksanaan ibadah korban bersempena sambutan Aidiladha pada bulan depan, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Razman Zakaria berkata SOP itu akan diumumkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Advertisement

“Perak setakat ini positif, tiada masalah untuk melaksanakan ibadah itu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan keperluan dapur secara pandu lalu kepada penduduk Kampung Selamat, Gunung Semanggol, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Kedah dan Pulau Pinang juga membenarkan pelaksanaan ibadah korban dengan SOP ketat, sementara Kelantan pula tidak menggalakkan ibadah korban dijalankan di negeri itu bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 yang meningkat sejak kebelakangan ini.

Mengenai bekalan ternakan untuk ibadah itu, Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gunung Semanggol, berkata bekalan adalah mencukupi meskipun sebelum ini timbul isu ternakan lembu dan kerbau dijangkiti penyakit kulit kental (LSD).

“Disebabkan risiko penularan penyakit ini juga kerajaan telah menggantung pengimportan lembu dan kerbau dari Thailand. Namun langkah itu tidak menjejaskan bekalan ternakan di negeri ini,” katanya.

Mengenai sumbangan hari ini, Razman berkata lebih 100 ekor ayam diagihkan kepada ketua isi rumah di Kampung Selamat dan program itu merupakan kesinambungan bantuan yang diberikan sebelum ini.

“Sebelum ini kita serahkan barangan kering seperti beras, minyak, gula, telur dan sayuran, kali ini kita agihkan ayam pula supaya mereka ada lauk untuk dimakan,” katanya. – BERNAMA