Liberalisme, kemudian Sosialisme, kemudian Anarkisme

- Advertisement -

REALITI di Malaysia, kuasa politik itu adalah kuasa tertinggi. Masing-masing merebut kuasa politik atas pelbagai alasan. Ada yang memang benar-benar bertujuan untuk bawa kebenaran. Ada juga yang ‘benar-benar’ nak berkuasa, dan ada juga yang semata-mata nak meraih kekayaan dunia. 

Apabila kita mengkaji mengenai faham kiri pula, kita dapati di sana ada pelbagai ragam. Ada yang sangat jelas idealismenya. Ada yang sekadar mengikut mood dan trend, ada juga yang hanya ikut disebabkan Dogmatism (pembodohan). Sepatutnya mereka yang ‘tak faham’ tak wajarlah kita masukkan dalam ‘faham kiri’.

- Advertisement -

Dalam suasana politik dunia, Liberalis-Kapitalis selalu dilihat berada di kanan. Manakala Sosialis-Anarkis selalu dilihat di sebelah kiri. Liberalis-Kapitalis selalunya dilihat oleh Anarkis dan Sosialis sebagai penindas. Manakala Anarkis dan Sosialis pula selalunya merasakan dirinya tertindas. Walaupun dari sudut sejarah, kemunculan Liberalisme itu datangnya dari kiri juga.

Anarkis pula melihat Sosialis adalah satu idea yang gagal, tidak mampu menyelesaikan penindasan Kapitalis-Liberalis. Walaupun Liberalis-Kapitalis sering mendakwa mereka itu terbina di atas prinsip kebebasan, tetapi realitinya apabila ada kuasa, mereka jadi penindas. 

Sosialis juga mendakwa menyeru kepada kebebasan dan kesetaraan. Ini kerana mereka menyeru supaya bebas daripada penindasan Kapitalis dan menghapuskan dasar kasta dalam ideologi itu. Jadi, mereka perjuangkan kesetaraan.

Anarkis pula bukan sekadar nak membebaskan diri daripada Liberalis-Kapitalis, bahkan mendakwa bahawa pemerintahan Sosialisme melahirkan kediktatoran. Apabila membaca buku Alexander Berkman bertajuk ‘Anarkisme dan Revolusi Sosial’ beliau menyatakan:

“Dengan cara yang sama, kaum Bolshevik juga telah membuktikan bahawa dogma Marxian dan prinsip-prinsip Leninis hanya dapat mengarah kepada kediktatoran dan reaksi.”

Apabila sembang bab kebebasan, Alexender Berkman ada juga mengandaikan situasi Anarkisme yang aman damai menjalani kehidupan masing-masing:

“Apabila anda bangun esok pagi, dan mendapati tiada lagi pemerintah, apakah fikiran pertama anda adalah untuk segera ke jalan, dan membunuh seseorang? Tidak, anda tahu bahawa hal itu adalah omong-kosong.”

Bahkan beliau seolah-olah menyifatkan mereka yang buat masalah di kala ketiadaan pemerintah itu dianggap sebagai tidak siuman. Manakala beliau katanya berbicara untuk orang yang waras. Realitikah? Hal ini kita bahas kemudian, insya-Allah

Ketiga-tiga ideologi ini bersifat kontra dengan agama. Seolah-olah agama adalah kongkongan bagi segala kongkongan. Sedangkan mereka hanya memborong semua istilah agama itu adalah Kristian zaman Dark Ages.

Karl Marx (Sosialisme) menyatakan bahawa agama itu adalah candu yang mengkhayalkan. Justeru, dia cuba menghapuskan agama atas alasan mengeluarkan manusia daripada khayalan kepada realiti. Immuel Kant (Liberalisme) pula menganggap bahawa tiada alasan mengapa manusia perlu menundukkan dirinya terhadap apa-apa kuasa termasuk Tuhan. 

Namun di sana, Syed Hussein al Al Attas ada menyebut dalam bukunya ‘Islam dan Sosialisme’ bahawa ‘‘asimilasi’ Sosialisme oleh masyarakat Islam dewasa ini akan merupakan perkembangan yang paling penting dalam sejarah dunia Islam’.

Beliau melihat di sana ada perkara-perkara dalam Sosialisme yang boleh diasimilasi dengan Islam. Namun, bukanlah semua, kerana Karl Marx sendiri bersikap anti-agama. Dalam masa yang sama ada juga yang mengatakan fahaman Anarkisme wujud dalam agama-agama, dalam Kristian, Yahudi, Budha dan lain lain. Cumanya dalam huraian yang berbeza-beza. 

Kepelbagaian ideologi ini menggambarkan kepada kita bahawa ketiga-tiga pemikiran itu seolah-olah terbingung. Terbingung dengan ideologi masing-masing. Bingung dalam menentukan mana satu kebebasan yang hakiki.

Masing-masing turut bingung dalam menghuraikan maksud kongongan, dan terus menerus memborong istilah agama itu dengan maksud ‘Kristian’. Walhal, betapa jauhnya beza antara Kristian dan Islam. Karl Marx menganggap agama itu tidak boleh dihuraikan secara nyata. Walhal dalam Islam kita diajar dengan dalil akal dalam membuktikan kewujudan Tuhan secara logiknya. Dalam al-Quran sarat dengan pembuktian kehebatan ciptaan Tuhan sebagai bukti kewujudanNya.

Empirisisme yang sebaris dengan Liberalisme menyatakan kebenaran itu hanya boleh dibuktikan melalui pengalaman. Sedangkan Allah S.W.T sudah buktikan di dalam Surah an-Nisa ayat 1 bagaimana Allah S.W.T menciptakan manusia tanpa ibu dan ayah, sebagai bukti pengalaman tidak menjadi kayu ukur kepada kebenaran.

Ketiga-tiga ideologi ini masing-masing mendakwa membawa seruan kepada kebebasan. Namun, sepertimana yang saya ceritakan, realitinya tidak jadi seperti itu. Islam pula bagaimana? Islam membebaskan manusia daripada memperhambakan diri sesama manusia, kepada memperhambakan diri kepada Tuhan. Berbeza dengan mereka itu yang menyeru ke arah membebaskan daripada pedoman Tuhan.

Dalam permasalahan ini, golongan kiri khususnya (termasuk Liberalisme) perlulah menilai kembali kebebasan yang mereka laungkan. Akal manusia tidak mampu menjangkaui segala galanya. Kalau kita katakan sudah cukup dengan akal untuk menentukan segala-galanya, hakikatnya kita tidak mampu mengira helaian rambut di atas kepala sendiri. Kita tidak mampu meneroka masa depan, dan kita tidak tahu hari mati kita. Segalanya sudah difirmankan di dalam al-Quran.

Hal-hal ini sepatutnya sudah cukup menjadi hujah bahawa akal itu ada batasnya. Akal itu boleh jadi melakukan kesilapan dalam berfikir. Justeru, wahyu Tuhan itu memandu manusia agar berfikir dengan cara yang betul. 

Pelbagai teori kebebasan yang telah dicipta oleh manusia yang saya huraikan di atas. Namun akhirnya melahirkan penindas juga. Ini kerana apabila kebebasan itu jika tidak dipandu dengan agama yang betul, akan menjadikan manusia itu bertukar liar.

MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 19/6/2021

- Advertisement -