Perbanyak vaksinasi kunci selesai krisis kesihatan, ekonomi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Profesor Madya Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya TS Dr Anuar Shah Bali Mohamed, berpandangan bahawa kunci kepada penyelesaian krisis kesihatan dan ekonomi adalah dengan memperbanyakkan vaksinasi.

Menurut beliau, terdapat tiga contoh negara luar yang yang berjaya keluar daripada krisis itu disebabkan oleh proses vaksinasi yang dijalankan secara besar-besaran.

“Pertama, negara Amerika Syarikat iaitu ekonomi mereka berkembang daripada 3.5 peratus kepada 6.4 peratus pada suku tahun pertama 2021.

“Kedua, negara Jepun juga menunjukkan peningkatan divaksinasikan dan seterusnya di negara China tahun lepas, mereka berhadapan dengan kemelut dan krisis yang luar biasa.

- Advertisement -

“China pada ketika ini perkembangan ekonomi sebanyak 18.3 peratus pada suku tahun pertama 2021 dan yang lebih menarik sekali ianya disebabkan lebih 900 juta dos vaksin yang telah diberikan kepada rakyat mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam slot Bicara Ruang bertajuk, ‘Pelan Pemulihan Negara Demi Menang Bersama’ bersiaran langsung di BERNAMA TV, malam tadi.

Katanya disebabkan negara China mensasarkan vaksinasi secara besar-besaran yang menyebabkan ekonomi mereka berjaya pulih.

“Oleh itu, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengambil tindakan yang tepat dalam memberikan fokus dalam peningkatan vaksinasi ini bukan sahaja menyelesaikan krisis kesihatan dalam negara kita bahkan, menyelesaikan krisis ekonomi juga dalam negara kita,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, tambahnya tempoh kritikal adalah ketika beralih daripada fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua kepada fasa yang ketiga.

“Jika kita lihat daripada kronologi tersebut, di mana kes di bawah 2,000 dan juga populasi sebanyak 40 peratus di negara kita telah divaksinasi.

“Jadi, apabila berlaku situasi seperti ini, terjadilah sebagaimana yang berlaku di Amerika Syarikat bahawa krisis kesihatan makin berkurangan dan juga ekonomi mereka kembali pula pulih.

“Pada ketika ini, perniagaan fizikal menghadapi situasi yang berbeza seperti yang kita lihat, negara kehilangan RM1 bilion dalam sehari berbanding PKP 1.0 yang kehilangan RM2.4 bilion,” ujarnya.

Justeru, beliau menjelaskan bahawa tempoh peralihan fasa kedua dan ketiga adalah amat kritikal dan bantuan yang memadai harus diberi kepada rakyat yang menghadapi kesukaran dari segi perniagaan, kehilangan pekerjaan atau pengurangan pendapatan.

Di samping itu, ujarnya Kementerian Kewangan Malaysia juga telah membuat satu kajian dapatan daripada kesan PKP 1.0 bahawa satu pertiga isi rumah tidak mampu mengekal perbelanjaan lebih daripada satu bulan.

“82 peratus pekerja sektor swasta hanya mempunyai simpanan kurang daripada dua bulan, 68 peratus melaporkan tiada jualan atau hasil semasa PKP 1.0 dan 4.5 peratus perniagaan memerlukan lebih enam bulan untuk pulih.

“Data ini jelas menunjukkan bahawa ianya memberikan impak kepada prasarana PKP 3.0 ini dan kerajaan perlu mengambil kira beberapa langkah tambahan.

“Antaranya ialah mungkin mereka boleh memberi kelonggaran untuk pengeluaran i-Sinar 2.0 secara bersasar terutamanya kepada mereka yang terjejas dan melanjutkan program subsidi upah tambahan,” ujar beliau.

Tambahnya, subsidi upah boleh mengurangkan kadar pengangguran dalam negara dan subsidi khas minyak masak dapat peroleh pakej subsidi minyak satu kilogram di pasar raya.

Seterusnya, beliau berpendapat bahawa kerajaan dapat memberikan bantuan e-Wallet bernilai RM100 atau RM200 pada tiap-tiap bulan kepada golongan B40 (isi rumah terendah) dan M40 (isi rumah pertengahan) yang terjejas pendapatannya.

“Hal ini dapat meningkatkan kepada ekonomi negara kita sebenarnya dan ini juga dapat membantu setiap bulan kepada golongan B40 dan juga peniaga demi memperoleh pendapatan.

“Apa yang lebih penting pada ketika ini, rakyat amat memerlukan pertolongan yang jauh lebih baik daripada sebelum ini oleh kerajaan kepada negara kita,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/6/2021

- Advertisement -