Politik Perpaduan Ummah adalah jajaran tunggal pilihan kita

- Advertisement -

BAGAIMANA politik Malaysia menjelang PRU ke-15 terus menjadi kajian dan ramalan para penyelidik dan penganalisa politik, masing-masing dengan pelbagai bacaan dan kemungkinan. Apakah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang memerintah hari ini bersama BERSATU, BN, PAS dan parti-parti lain dari Borneo akan mampu bertahan atau apakah mungkin Pakatan Harapan (PH) yang diterajui DAP dan PKR akan kembali berkuasa terus menjadi tanda-tanya dan perbahasan hangat.

Hubungan kelat antara BERSATU dan BN menambahkan lagi kerancakan perbahasan, menggusarkan para pemegang taruh, sehingga bangkit pelbagai andaian yang ditokok-tambah perisanya oleh pihak pembangkang yang kemaruk mahu kembali berkuasa setelah hanya mampu bertahan selama 22 bulan.

- Advertisement -

Hari ini kewujudan ‘Jajaran baru’ politik terus dipermainkan membayangkan seolah Umno-BN akan menceraikan kerajaan, memutuskan hubungan dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) dan menjalin kerjasama dengan PKR yang menerajui PH bersama DAP. 

Presiden PKR Anwar Ibrahim sendiri dan pimpinan lain dari partinya malah bersungguh-sungguh membayangkan kemungkinan ini sedangkan Umno sendiri telah pun memutuskan sikap ‘No DAP No Anwar’.

Kekelatan hubungan BERSATU dan BN ini sesungguhnya merumitkan kedudukan PAS yang kini merupakan sebahagian dari komponen Kerajaan PN selain menganggotai MN bersama Umno. Ke manakah PAS kiranya kekelatan hubungan ini berkesudahan dengan pecah-belah, berpatah arang dan berkerat rotan?

Sehingga ke hari ini pendirian PAS kekal iaitu ‘Memperkukuh MN dan mempertahan PN’. Ternyata PAS terus yakin dan mahu menjulang politik Perpaduan Ummah sebagai jajaran politik baru pasca PRU14 dan kejatuhan Kerajaan PH walaupun berhadapan dengan pelbagai kemungkinan dan rintangan.

PRU14 menjadi pengajaran besar bukan hanya buat PAS tetapi rata-rata umat Melayu Islam dalam negara bahawa kiranya kita berterusan bersengketa dan berpecah sesama sendiri, tidak mustahil kesannya boleh mengakibatkan kuasa dan teraju negara jatuh ke tangan orang lain. Ianya telah berlaku selama 22 bulan apabila PH yang didominasi DAP berkuasa dan meneraju Kerajaan Persekutuan, tempoh yang telah mencetuskan kebimbangan dan kegusaran buat umat Melayu.

Kerana itu PAS mengambil sikap, tidak ada acara lain untuk menyelamatkan nasib dan masa depan ummah dan negara selain kita bersama menyatukan kuasa politik Melayu yang berpecah-pecah itu, bersatu bawah konsep Perpaduan Ummah, jajaran baru politik yang bakal mengembalikan maruah agama, bangsa dan negara.

Umat Melayu Islam yang merupakan majoriti penduduk dalam negara, wajar bersatu dari segi politik agar tonggak kuasa kekal berada di tangan kita. Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di dalam ucapan dasarnya ketika Muktamar PAS ke 66 yang lalu berkata:

“Maka bangsa yang bersama Islam wajib bangkit supaya tidak dihanyutkan oleh pengaruh bukan-Islam yang menghilangkan jati diri sendiri. Bangsa itu juga mungkin diselamatkan oleh kaum lain yang menganut dan menerima Islam tanpa membiarkan mereka ditenggelamkan oleh kaum bukan-Islam yang haram diizinkan menjadi wali atau pemimpin kepada orang Islam”.

Politik perpaduan ummah inilah satu-satunya jajaran politik baru yang sepatutnya menjadi pilihan buat parti-parti politik Melayu Islam. Membinanya menjadi satu kewajipan kerana ianya suatu tuntutan agama, sebagaimana yang pernah ditunjukkan kepada kita oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W di zamannya sehingga para ulamak Fiqh Siyasah menegaskan kepimpinan yang paling berpengaruh didukung daripada bangsa yang menganut Islam dan bangsa yang mendominasi masyarakat.

Rakyat jelata khasnya umat Melayu Islam telah cukup terkesan hasil dari pecah belah ummah pada PRU14 lalu, jangan lagi kita mengizinkan pengalaman malang itu berulang apabila bumi dipijak tidak lagi menjadi milik kita. Kerana itu dalam apa keadaan sekalipun parti-parti politik Melayu Islam perlu bermuafakat, perbezaan dan perselisihan perlu dijernihkan jangan dibiarkan keruh berterusan akibatnya yang rugi adalah kita. Akibatnya kaduk kelak akan kembali naik junjung.

Apatah lagi apabila memilih untuk memutuskan hubungan sesama ummah dan sebaliknya menghulurkan pula tangan untuk bekerjasama dengan pihak musuh, pihak yang sama yang telah mencetuskan kegusaran ummah sebelum ini, ternyata ia satu langkah yang merugikan dan kita akan dicemuh oleh anak cucu kita kerana tergamak meninggalkan rumpun sendiri untuk bersekongkol dengan pihak musuh yang tiada langsung agenda untuk memartabatkan ummah dalam kamus perjuangan mereka. Susah atau senang kita perlu bermuafakat dan bersatu jangan beri ruang pada musuh untuk memecah-belahkan kita apalagi menangguk di air keruh.

Pada tahun 1085 dahulu ketika Islam bertapak di Sepanyol melalui pemerintahan Kerajaan Islam Andalusia yang kecil dan berpecah-pecah, Raja Alfonso ke VI Raja Kristian di Wilayah Leon dan Castile telah menawan bandar Toledo dari tangan pemerintahan Islam. Wilayah Seville ketika itu di bawah pemerintahan Al-Mu’tamid Ibn Abbad. Alfonso mengancam menyerang Seville pula apabila Al Mu’tamid enggan membayar cukai padanya.

Dalam keadaan berhadapan dengan serangan Alfonso, Al Mutamid tiada pilihan melainkan memohon bantuan Sultan Yusuf ibn Tashufin, Kerajaan al Murabitun yang menguasai sebahagian besar Afrika Utara termasuklah Maghribi. Walaupun mereka sesama Islam tetapi tindakan Al Mutamid itu dicemuh oleh saudara-saudaranya Raja-raja lain yang menguasai wilayah-wilayah kecil di Sepanyol.

Al Mutamid tiada pilihan kerana tidak sanggup melihat Wilayah Islam jatuh ke tangan bukan-Islam lalu beliau berkata:

“Aku tidak mahu menjadi mangsa hinaan keturunanku sebagai pembelot, menjadi kutukan di atas mimbar – mimbar. Lebih baik aku menjadi gembala unta, daripada menjadi gembala babi.”

Maksudnya biar terpaksa tunduk kepada Raja Islam yang lain daripada menjadi pembelot menyerahkan maruah ke Raja yang bukan-Islam. Akhirnya melalui tindakan beliau tentera-tentera Islam berjaya menyekat kemaraan tentera Kristian dalam peperangan Zallaqah pada bulan Rejab 497H (1086M).

Banyak iktibar dan pengajaran yang perlu kita jadikan panduan dan rujukan kita yang penting kita semua bersepakat memastikan tanah bertuah ini terus kekal diterajui kepimpinan Melayu Islam. Tiada pilihan atau jajaran lain buat kita kecuali mendaulatkan jajaran politik Perpaduan Ummah.

PAS diyakini akan terus ke hadapan dalam mendamaikan semua pihak yang berkepentingan melalui Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang insya-Allah akan menjanjikan masa depan yang baik dan bermakna buat semua.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 16/6/2021

- Advertisement -