Penduduk tidak perlu lagi buat saringan Covid-19

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Penduduk daerah Kota Setar tidak perlu lagi membuat ujian saringan Covid-19 untuk merentas daerah sebagaimana disyaratkan sebelum ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, perkara itu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan DiPerketatkan (PKPD) untuk daerah itu tamat hari ini.

Katanya, syarat berkenaan dikenakan sebelum ini berikutan pelaksanaan PKPD daerah berkenaan bermula 19 Mei lalu.

- Advertisement -

“Bermula hari ini mana-mana penduduk dari daerah Kota Setar yang hendak merentas daerah tidak perlu lagi surat bukti ujian saringan (swab test).

“Sebaliknya mereka hanya perlu mendapatkan kebenaran polis, majikan atau lain-lain yang berkaitan,” katanya pada kenyataan semalam.

Selain itu katanya, pergerakan dalam kenderaan persendirian juga dibenarkan untuk dua orang berbanding sebelum ini hanya seorang sahaja.

Menurutnya juga aktiviti sukan iaitu ‘jogging‘ hanya dibenarkan di kawasan kejiranan dalam radius 10 kilometer sahaja.

“Saya mengharapkan orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana kita masih di dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 walau pun PKPD ditamatkan,” ujarnya.

Ahmad juga berkata, pihaknya akan membuat pemantauan di Jeti Kuala Kedah susulan pembukaan semula laluan feri Kuala Kedah ke Langkawi.

Kata beliau pemeriksaan di laluan keluar dan masuk penumpang memandangkan pergerakan rentas daerah masih tidak dibenarkan, di mana mereka perlu mendapat kebenaran daripada pihak tertentu terlebih dahulu.

Selain itu pihaknya juga akan membuat kajian dari semasa ke semasa keperluan Sekatan Jalan Raya (SJR) dan ‘check point‘ sedia ada sama ada akan terus dikekalkan atau sebaliknya.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 196 kompaun melibatkan pelbagai kesalahan sepanjang tempoh pelaksanaan PKPD daerah Kota Setar (19 Mei hingga 15 Jun) dikeluarkan.

“Kompaun itu melibatkan pelbagai kesalahan seperti tidak memakai pelitup muka, tiada penjarakan sosial dan lain-lain yang dirasakan tidak patut berlaku dalam suasana normal baharu sekarang,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 16/6/2021

- Advertisement -