Israel lancar serangan udara di Semenanjung Gaza

- Advertisement -

GAZA CITY: Pesawat perang Israel pada awal Rabu menyerang kedudukan Hamas di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita Anadolu.

Tentera Israel dalam satu kenyataan menyatakan pihaknya menyasarkan kedudukan Hamas, termasuk di al-Yarmouk di sebelah timur bandar Khan Younis serta kawasan kejiranan di Zeitoun.

- Advertisement -

Serangan udara itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap belon api yang dilancarkan dari Gaza ke selatan Israel.

Kementerian Kesihatan Palestin belum mengeluarkan sebarang maklumat sama ada terdapat mangsa yang terbunuh dalam serangan itu.

Ia serangan udara pertama sejak gencatan senjata dicapai antara Israel dan Hamas pada 21 Mei.

Gencatan senjata itu dibuat pada awal pagi 21 Mei mengakhiri pengeboman Israel selama 11 hari di Semenanjung Gaza, dengan Mesir bertindak sebagai orang tengah.

Serangan Israel di Gaza dan Tebing Barat mengorbankan sekurang-kurangnya 289 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, selain menyebabkan banyak kemusnahan. Pusat kesihatan dan pejabat media serta sekolah adalah antara yang menjadi sasaran. – BERNAMA

- Advertisement -