Pelajar YIK cemerlang SPM belajar norma baharu

- Advertisement -

Oleh NORZANA RAZALY

KOTA BHARU: Biarpun berdepan cabaran capaian internet terutamanya pinggir dan luar bandar pelajar sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) masih mampu mempertahan kecemerlangan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Negeri Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pelajar sekolah YIK mencapai kelulusan 94.56 peratus.

Katanya seramai 5365 pelajar sekolah YIK menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2020 pada awal tahun ini.

- Advertisement -

“Berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) SPM 2020, Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah dan Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat Pulai Chondong mengungguli bagi kategori maahad kawalan.

“Maahad Muhammadi Perempuan juga cemerlang bagi kategori yang sama. Saya mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang gigih berusaha.

“Begitu juga para guru yang mahir menyelesaikan silibus berfokus pembelajaran secara bersepadu meliputi aspek pembangunan spiritual, kecerdasan mental dan kestabilan emosi,” katanya di sini.

Menurutnya juga peranan ibu bapa yang berkorban menyediakan persekitaran pembelajaran yang selesa dan tekun memantau jadual Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menjadi pelengkap kejayaan itu.

Kata beliau juga perkembangan yang berlaku itu menunjukkan pelajar sekolah YIK bijak menyesuaikan diri dengan cabaran pembelajaran norma baharu sekarang.

“Kerajaan sedar pelajar amat memerlukan kemudahan pembelajaran secara optimum sepanjang PdPR dilaksanakan,” tambah beliau.

Dr Mohamed Fadzli juga berkata, kerajaan negeri bekerjasama dengan agensi berkaitan dan pembekal perkhidmatan internet bagi meningkatkan capaiannya.

Katanya Kelantan memanfaatkan dana Jalinan Digital Negara (JENDELA) bernilai RM700 juta bagi mempertingkatkan prasarana telekomunikasi dalam tempoh dua tahun ini di negeri tersebut. – HARAKAHDAILY 16/6/2021

- Advertisement -