SUHAKAM: Jangan jadi api dalam sekam

- Advertisement -

Oleh SENATOR ASMAK HUSIN

SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) ditubuhkan oleh Parlimen di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta SUHAKAM).

SUHAKAM merupakan sebuah institusi kebangsaan yang memperjuangkan hak asasi manusia dan berfungsi untuk melindungi, mengawasi dan mempromosi hak asasi di peringkat domestik dan antarabangsa.

Jelas fungsinya sangat penting dalam pembangunan negara. Namun hari ini sekali lagi negara kita digemparkan oleh hantaran di Facebook SUHAKAM untuk merekrut penyelidik bagi mengkaji mengenai pengiktirafan third gender di Malaysia.

- Advertisement -

Pengiktirafan gender ketiga atau lebih dikenali sebagai LGBT jelas bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia iaitu perkara tiga menyebutkan Islam adalah agama Persekutuan.

Islam tidak pernah mengiktiraf third gender kerana ianya jelas bercanggah dengan hukum syarak, bahkan menggugat kesejahteraan ummah.

Ia juga akan membawa kepada kecelaruan undang-undang dari sudut perundangan sivil dan syariah.

Contohnya, jika gender ketiga melakukan kesalahan rogol. Namun di dalam penal code disebutkan dengan jelas perkataan ‘Man’. Bagaimana ingin disabitkan kesalahan kepada gender ketiga?

Ini bukan kali pertama SUHAKAM mengeluarkan pandangan kontroversi.

i) SUHAKAM pernah mendakwa diskriminasi yang terjadi terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) disebabkan oleh pengkelasan dua jantina secara tradisi.

ii) SUHAKAM menyelar tindakan kerajaan membatalkan persidangan yang dianjurkan oleh Dong Zong atas alasan hak kebebasan berhimpun dan bersuara.

iii) SUHAKAM menyebut bahawa sistem dwiperundangan yang terdiri daripada Undang-undang Jenayah Persekutuan dan Undang-undang Syariah adalah merumitkan dan pada masa yang sama mendiskriminasikan komuniti LGBT.

iv) SUHAKAM menyelar hukuman rotan yang dikenakan kepada dua orang wanita yang dihukum oleh Mahkamah Syariah Terengganu kerana cubaan melakukan hubungan seks sama jenis, dianggapnya sebagai satu hukuman yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Saya melihat beberapa kontroversi yang dikeluarkan oleh SUHAKAM jelas menunjukkan badan itu sudah menyimpang daripada matlamat sebenar penubuhannya sebagai sebuah agensi di bawah kerajaan.

SUHAKAM berkiblatkan piawaian hak asasi antarabangsa tanpa mengira keluhuran perlembagaan dan budaya masyarakat di Malaysia.

Tetapi saya juga tidak hairan apabila merujuk ke laman web SUHAKAM, bahagian hak asasi ekonomi, budaya dan sosial jelas terpapar salah satu fokus mereka adalah isu transgender.

Membuat pengkajian dan seterusnya mencari penyelesaian dari sudut pandang Islam, perlembagaan persekutuan dan sosiobudaya setempat itu tidak salah tetapi mengiktiraf kewujudan gender ketiga dari sudut undang-undang adalah salah.

Oleh itu saya menggesa pihak kerajaan menyemak semula keanggotaan SUHAKAM agar jangan menjadi seperti api dalam sekam yang diam-diam merosakkan akar umbi agama dan budaya di Malaysia dengan menggunakan dana kerajaan. – HARAKAHDAILY 16/6/2021

Penulis merupakan anggota Dewan Negara.

- Advertisement -