Pasukan khas cari penduduk gagal hadir vaksinasi

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

JELI: Jahahan Jeli menyasarkan seramai 1000 individu disuntik vaksin Covid-19 setiap hari sekaligus dapat meminimumkan tempoh menunggu bagi mencapai herd imunity.

Ketua Jajahan Jeli, Nik Raisnan Nik Daud berkata, sasaran itu dilihat mampu dicapai melalui peningkatan kuantiti suntikan dengan menggerakkan pemberian vaksin melalui Program Outreach Vaksinasi Covid-19.

“Kita sedang menggerakkan program pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada penduduk Jeli dan kita juga membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di daerah Jeli.

- Advertisement -

“Sekarang di PPV terdapat kira-kira seramai 200 orang setiap hari disuntik dan sehingga kini terdapat seramai 6,450 orang.

“Manakala secara keseluruhan populasi penduduk yang perlu diberi suntikan seramai 30,500 orang di Jeli,” katanya ketika ditemui di PPV Batu Melintang di sini semalam.

Dalam perkembangan sama, Nik Raisnan berkata, setakat ini lebih kurang 24,000 penduduk di Jeli belum diberi suntikan vaksin Covid-19.

Oleh itu katanya, pihaknya merangka bagi menggerakkan sasaran penerima suntikan vaksin menerusi program outreach di samping menyokong usaha kerajaan mencapai tahap imuniti kelompok.

“Malah kita juga merangka melalui program outreach bagi mereka yang tinggal di Ayer Lanas, Kuala Balah dan Batu Melintang.

“Jadi sekarang kita akan menggerakkan sasaran bagi mempercepatkan lebih kurang 24,000 lagi penduduk yang perlu disuntik,” katanya.

Dalam perkembangan lain katanya, pihaknya juga mewujudkan pasukan khas berperanan membantu serta mencari penduduk yang gagal hadir menerima suntikan disebabkan faktor-faktor tertentu.

“Kita akan beri kemudahan dan mencari mereka yang gagal hadir menerima suntikan termasuk menyediakan pengangkutan dan sebagainya.

“Kita akan menyediakan kenderaan dan mengambil mereka mungkin ada dalam kalangan penduduk yang uzur, OKU dan tidak mempunyai ahli keluarga.

“Jadi kita menyediakan kemudahan tersebut bagi melancarkan proses pemberian suntikan vaksin,” katanya.

Nik Raisnan juga berkata, kesedaran rakyat terhadap penerimaan suntikan vaksin semakin positif dan memberangsangkan sekaligus menjadi penanda aras penerimaan rakyat.

Menurutnya juga kerjasama rakyat dapat melancarkan lagi proses vaksinasi bagi mencapai 90 peratus kadar vaksinasi. – HARAKAHDAILY 16/6/2021

- Advertisement -