PASRelief sumbang RM16.3 juta untuk Aid4Palestine

KUALA LUMPUR: Walaupun secara rasminya kempen Aid4Palestine sudah tamat, namun Palestin adalah sebuah perjuangan yang tidak bernoktah dan sokongan yang tidak bermusim.

Justeru, Pengarah PASRelief, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah berkata pada 22 Mei lalu, pihaknya telah mengadakan Majlis Penyerahan Sumbangan Aid4Palestine daripada negeri-negeri dan dewan-dewan sebanyak RM12.2 juta yang berjaya dikumpulkan.

Advertisement

“Hari ini (14 Jun) diadakan Majlis Penyerahan Sumbangan Aid4Palestine fasa kedua daripada negeri-negeri dan dewan-dewan.

“Sejumlah RM4.1 juta telah terkumpul menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan daripada PASRelief untuk Aid4Palestine adalah sebanyak RM16.3 juta,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, sebanyak RM6 juta telah diperuntukkan dan sedang disalurkan ke Palestin untuk bantuan awal dan kecemasan rakyatnya yang terjejas akibat keganasan zionis Israel.

Tambahnya, manakala baki sumbangan akan diperuntukkan untuk projek jangka masa sederhana dan panjang.

Beliau berkata, proses perbincangan dan perancangn antara Duta Muhibbah dan Kerajaan Palestin masih berjalan untuk memuktamadkan fokus keutamaan bantuan di Palestin.

“Mewakili PASRelief, saya dan barisan kepimpinan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus secara langsung mahupun tidak langsung menjayakan kempen Aid4Palestine ini.

“Semoga Allah SWT memberikan rahmah dan barakah kepada kita jua,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/6/2021