Pesakit Covid-19 lari ditemui bersembunyi dalam kebun

- Advertisement -

KINABATANGAN: Pesakit Covid-19 yang melarikan diri dari rumahnya di Tongod semalam dipercayai kerana mahu mengelak daripada dibawa ke hospital, ditemukan bersembunyi di sebuah  kebun berdekatan rumahnya kira-kira 6.50 petang tadi.

- Advertisement -

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supt Dzulbaharin Ismail berkata lelaki warga emas berusia 69 tahun itu, kemudiannya diserahkan kepada pihak petugas kesihatan untuk tindakan selanjutnya.

Pukul 12 tengah hari semalam, belaiu berkata pesakit itu didapati tiada di rumah ketika sepasukan petugas kesihatan dari Klinik Kesihatan Tongod datang untuk menjemputnya untuk dibawa menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

“Rumahnya juga berada dalam keadaan berkunci dan tidak berpenghuni. Sebelum itu dia dilaporkan  sedang mengemas barangannya setelah dimaklum akan dibawa ke hospital,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau selepas mendapati pesakit itu tiada di rumahnya, petugas Klinik Kesihatan Tongod telah balik ke klinik dan menunggu pesakit itu datang, namun lelaki itu tidak muncul menyebabkan laporan polis dibuat bagi tujuan mengesan kedudukannya kerana dikhuatiri akan menjangkiti orang awam.

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memberikan kerjasama dan mematuhi segala arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa bagi membendung penularan wabak Covid-19 di negara ini. – BERNAMA

- Advertisement -