PKPD: Tindakan potong kawat berduri tidak wajar

Foto RIZAL TAHIR. Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato' Bentara Kanan Ahmad Yakob ketika mengiringi petugas menghantar bekalan makanan kepada penduduk Kampung Kutan tengah yang dikenakan PKPD.
- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

TUMPAT: Kerajaan bukan berniat untuk menyukarkan masyarakat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga tidak membenarkan mereka keluar kampung.

Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, mana-mana penduduk kampung yang dikenakan PKPD diharap mengikut arahan kerajaan supaya rantaian Covid-19 dapat diputuskan.

Katanya, tindakan memotong kawat berduri yang diletakkan di laluan masuk dan keluar kawasan PKPD juga sewajarnya tidak berlaku.

- Advertisement -

“PKPD sebenarnya untuk kepentingan rakyat, untuk kepentingan bersama demi keselamatan diri, keluarga, negeri dan negara.

“Bila ada sekatan sebegini sewajarnya kita tidak keluar dari rumah atau kawasan kampung kerana dibimbangi jangkitan dibawa keluar,” ujarnya ketika ditemui, hari ini.

Jelasnya, sekiranya masyarakat kampung tidak keluar, ianya dapat mengawal jangkitan dari merebak.

Beliau berkata demikian kepada Harakah ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan keperluan makanan kepada penduduk Kampung Kutan Tengah yang dikenakan PKPD sejak tiga hari lalu.

Sumbangan berkenaan disumbangkan melalui Jabatan Kebajikan Negeri (JKN) dan Pejabat Menteri Besar Kelantan.

Beliau berkata, sebanyak 360 keluarga dari kampung berkenaan terlibat dengan PKPD yang membabitkan lebih 1,400 orang.

Katanya, walaupun mereka tidak dibenarkan keluar, namun bantuan makanan diberikan untuk menjaga kepentingan mereka.

Menurutnya, bekalan makanan termasuk lauk basah akan dihantar sebanyak tiga kali dalam tempoh PKPD.

“Kepentingan nyawa kita sudah berikhtiar sejak awal-awal lagi, yang mana kita sentiasa ingatkan supaya menjaganya sebaik mungkin melalui penjarakkan sosial.

“Jadi yang belum dijangkiti jagalah sebaik mungkin kesihatan diri, patuhlah arahan kerajaan,” ujarnya.

Beliau tidak menafikan sejak perintah kawalan penuh dalam tempoh dua minggu ini sudah kelihatan penurunan kes harian Covid-19 khususnya di negeri itu.

Namun tambahnya, ianya bukan bererti negara telah bebas dari wabak berkenaan.

“Kita belum berjaya kerana itu kita mesti istiqamah dengan mematuhi SOP yang diperkenalkan kerajaan sehingga betul-betul berjaya,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Jajahan Tumpat, Rusydee Abdullah yang turut hadir dalam lawatan itu berkata, walaupun kawasan berkenaan di kenakan PKPD, namun aktiviti kutipan sampah dilakukan sebagaimana biasa.

Beliau juga turut berharap masyarakat Kampung Kutan Tengah bersabar seketika dengan perintah berkenaan.

“Apa yang dilakukan adalah untuk kebaikan semua pihak,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/6/2021

- Advertisement -