Hak pengguna: Pasar raya lebih faham berbanding Warisan

Oleh MOHD RAHMAN AWANG

KOTA KINABALU: Tindakan segelintir pemimpin Warisan yang cuba mengambil kesempatan membangkitkan sentimen perkauman melalui isu pengguna di pasar raya Bataras, Keningau baru-baru ini jelas menunjukkan kedangkalan pemimpin parti itu dalam memahami hak pengguna di Sabah.

Ketua Pemuda PAS Sabah, Zulzaim Hilmee Abidin berkata, mungkin dengan sebab kedangkalan itu Warisan hanya memerintah beberapa bulan di samping kegagalan menjaga kepentingan rakyat.

Advertisement

“Tindakan yang diambil oleh pasar raya Bataras dilihat lebih bijak apabila menyelesaikan aduan pengguna yang timbul demi menjaga sensitiviti semua kaum dan agama di negeri ini,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini, seorang pengguna Islam mengadu troli tidak diasingkan di pasar raya berkenaan kerana menjual daging tidak halal.

Susulan itu, pihak pasar raya sudah menyelesaikannya dengan menyediakan troli berasingan.

Dr Aliakbar dalam satu kenyataan menyarankan semua pasar raya di Sabah menghormati sensitiviti umat Islam.

Dalam pada itu, sebuah portal pro-Warisan menyiarkan artikel bertajuk ‘PAS Sabah tuduh Bataras menghina agama Islam’ dan pihak pasar raya melalui laman Facebook menyatakan tajuk artikel itu mengelirukan dan tidak benar.

Zulzaim Hilmee berkata, Warisan sewajarnya memberikan penghargaan kepada Dr Aliakbar Gulasan selaku ADUN yang dilantik yang menjalankan tugas sebagai pemimpin masyarakat dan sanggup membawa suara pengguna Islam untuk keselesaan dan kepentingan masyarakat yang rencam dengan kepelbagaian etnik.

“Rakyat Sabah tahu, ADUN dari PAS itu yang merupakan anak kelahiran Tenom sentiasa bekerja untuk masyarakat dan ia ternyata berbeza dengan pemimpin Warisan yang dilihat hanya mendiamkan diri mengenai isu tertentu demi meraih kepentingan politik,” jelasnya.

“Walaupun sudah diberi peluang mentadbir Sabah pada penggal lalu Warisan tidak menunjukkan kualiti pentadbiran yang baik bahkan tidak kurang pimpinannya terpalit dengan isu rasuah sehingga menyebabkan Warisan ditolak oleh orang Sabah,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan-rakan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) khususnya STAR dan SAPP yang bangkit membuat penjelasan berkenaan isu berkenaan.

Katanya, perkara ini menunjukkan parti komponen GRS lebih memahami budaya hidup bermasyarakat di Sabah berbanding Warisan.

Ini, ujarnya sekali gus memperlihatkan bahawa kesatuan parti-parti kerajaan negeri yang mewakili pelbagai etnik dan agama lebih ke hadapan untuk mewujudkan suasana yang harmoni dalam kalangan rakyat negeri ini. – HARAKAHDAILY 13/6/2021