Sampah yang menjadi aset dan apabila aset disampahkan

- Advertisement -

HARI Alam Sekitar Sedunia disambut setiap tahun bagi menjaga kelestarian khazanah alam semulajadi yang hijau lagi mendamaikan menjadi sebahagian dari keperluan dan kestabilan kehidupan.

Pelbagai program diadakan untuk meningkatkan tahap kesedaran masyarakat dunia terhadap isu alam sekitar serta mempertingkatkan tindakan dan penglibatan terhadap perubahan alam sekitar.

Dalam menjaga kelestarian alam sejagat ini, isu sampah selalu saja menjadi topik utama menggugat kerajaan atas ketidakmampuan menguruskannya. 

- Advertisement -

Ianya dipandang jijik dan kotor hingga ada di kalangan masyarakat yang membuangnya mengikut sesuka hati tanpa memasukkan ke dalam tong sampah dengan cara teratur.

Sampah juga pernah jadi isu yang mengejutkan seluruh negara apabila didapati ada pihak yang menjadi kaya berpunca dari sampah.

“Bisnes sampah ini sebenarnya bagus kerana kotor yang berharga. Orang pandang kita ini macam sampah dan dianggap bukan bidang profesional,” kata Datuk Mohd Shahrul Nizam Mustapa, petikan dari akhbar Malaysia Gazette 7 Mac 2020.

Beliau yang pernah bekerja sebagai Penyelia di syarikat Alam Flora di mana sesekali terpaksa melakukan tugas mengutip sampah jika berlaku kekurangan kakitangan.

Beliau tidak menyangka sampah mampu menjadikan dirinya sebagai seorang usahawan yang berjaya hingga memiliki 30 lori sampah dengan harga sebuah mencecah RM500,000.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memandang sampah sebagai ‘aset’ kepada kementerian dalam menjana pendapatan kepada kerajaan dan negara.

Menteri di Kementerian tersebut, Zuraida Kamaruddin menyarankan rakyat Malaysia dalam kumpulan B40 untuk menukar sampah menjadi wang tunai sebagai cara untuk membantu menambah pendapatan mereka.

Sampah dapat menghasilkan baja pokok daripada sisa makanan serta barangan yang boleh dikitar semula seperti besi, tin, kertas dan plastik.

“Orang boleh menjana pendapatan daripada industri sampah ini. Oleh itu, kita harus mendorong rakyat kita untuk menghargainya,” katanya dalam berita Malaysiakini pada 1 Julai 2020. 

Sampah juga telah mencapai kedudukan yang tinggi di mana ia pernah menjadi bahan penyeludupan oleh sebuah syarikat kitar semula yang beroperasi di United Kingdom telah menyeludup masuk ke negara kita.

Memetik dari akhbar Sinar Harian pada 28 Mei 2019, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin ketika itu menyatakan bahawa pada tahun tersebut satu syarikat telah membawa masuk sebanyak 10,000 kontena mengandungi 50,000 tan metrik sisa sampah plastik.

Kita akan terus bekerja keras memastikan kegiatan ini tidak terus berlaku kerana Malaysia bukanlah tempat pembuangan sampah dunia.

Beliau menyifatkan rakyat tempatan yang mendalangi kegiatan penyeludupan sisa sampah ke negara ini sebagai pengkhianat.

Daripada beberapa petikan di atas mengenai sampah sebagai bahan buangan, sampah boleh dikaitkan juga dengan sikap masyarakat sebagai sampah masyarakat. 

Sampah masyarakat sering dikaitkan kepada seseorang yang tiada manfaat kepada masyarakat bahkan menyusahkan masyarakat dengan pelbagai aktiviti jenayah yang dilakukan sehingga mengorbankan nyawa dan harta benda.

Bagaimana pula dengan sikap manusia yang tidak menghargai hasil usaha orang lain yang telah dibuat dengan susah payah tetapi telah disampahkan?

Dalam kitab Ihya’ Ulumuddin, terdapat tiga penyakit hati yang paling utama yang akan mencetuskan penyakit lain, sekali gus mampu membinasakan manusia, iaitu hasad dengki, riak dan ujub.

Rasulullah S.A.W mengingatkan manusia bahawa tiga perkara yang merosakkan manusia, iaitu sifat bakhil yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan kagumnya seseorang dengan dirinya sendiri.

Apabila merasai kehebatan diri, mereka akan memandang orang lain lebih rendah darjatnya dan akan mudah menghukum seseorang secara melampaui batas.

Peringatan juga buat manusia yang sentiasa melihat kelemahan dan petanda penyakit hati yang terdapat pada orang lain kerana tanpa disedari penyakit itu juga ada dalam diri mereka.

Dalam kitab Tahzib al-Akhlaq disebut: Sekiranya kamu berbangga dengan kuda kamu, maka kebanggaan itu adalah kembali kepada kuda itu. Jika kamu berbangga dengan baju dan alat-alat atau harta benda kamu, maka kebanggaan itu juga kembali kepada benda-benda itu semua. Begitu juga sekiranya kamu berbangga dengan keturunan, maka kelebihan itu adalah hak mereka.

Oleh itu, dalam hal ini tidak ada unsur-unsur yang boleh menjadikan kamu bersifat bangga atau takbur. Andainya setiap kebaikan dan kelebihan yang ada pada setiap benda yang dibanggakan tadi, kamu letakkan atau kembalikan kepada pemiliknya, maka kamu akan menjadi orang yang benar dengan ucapan yang sepatutnya kita ucap di atas sebarang bentuk kurniaan nikmat Tuhan seperti ungkapan Nabi Allah, Sulaiman A.S:

هَـٰذَا مِن فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ

“Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya.”

(al-Naml: 40)

Semoga Allah S.W.T menjauhkan kita daripada sifat ujub serta menjadikan kita daripada golongan yang ikhlas.

Petikan dari Buku Dosa Tersembunyi oleh Asy-Syahid Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti menyatakan bahawa musuh yang bahaya bukanlah datang dari luar, sebaliknya ia adalah jiwa dan nafsu kita sendiri.

Ia menyebabkan dendam kesumat, perpecahan dan pergaduhan sesama umat.

Ia juga menyebabkan kita terlupa mengenai tujuan hakiki diutuskan ke bumi, sebaliknya menyebabkan kita terleka dengan gemerlapan duniawi pangkat dan kemasyhuran.

Lantaran itu, sebagai umat Islam, kita hendaklah selangkah demi selangkah dalam perjalanan hidup kita membaiki hati dan membangunkan jiwa untuk memperkukuhkan seorang demi seorang individu dan kelompok Muslim supaya dapat membina kekuatan menghadapi apa jua cabaran yang mendatang.

HABSAH ALI – HARAKAHDAILY 12/6/2021

- Advertisement -