Bersama atasi detik sukar

APA keutamaan sebuah kerajaan sekarang? Itu persoalan yang paling penting. Islam mengajar kita menilai keutamaan. Keutamaan sesuatu akan berubah dengan berubahnya faktor sekeliling. Antara nyawa dan ekonomi. Sedangkan keduanya pula saling berkait dan saling memerlukan. Apa pilihan kerajaan yang ada.

Itu tanggungjawab kerajaan untuk menilai. Bukan kita. Tanggungjawab kita membantu menjadikan ianya berjaya. Apa yang perlu kita buat sekarang ialah patuhi ketetapan agar usaha ini tidak terganggu di perjalanan. Kerajaan tidak boleh disibukkan dengan isu remeh-temeh yang dibesar-besarkan.

Peranan ini adalah peranan semua rakyat termasuk pembangkang. Saling menyokong. Masalah yang dihadapi kerajaan sekarang adalah masalah yang datang dari luar. Ia musibah yang melanda dunia. Bukan masalah yang lahir dari kerajaan sendiri seperti penipuan manifesto.

Advertisement

Jika kita dalam kapal terbang yang sedang dilanda ribut, seluruh penumpang diminta patuhi apa sahaja arahan. Jangan bergerak dari tempat duduk. Pakai tali keselamatan. Bukan masanya minta minum jus sebab mabuk. Bergerak ke tandas sebab nak basuh muka. Nak bagi kuih pada ibu bapa yang duduk di kerusi lain di belakang. Bukan masanya. Ia hanya menyebabkan kekalutan. 

Jika kita perhatikan, isu masyarakat yang dihangatkan ialah isu remeh temeh. Isu yang ada jawapan tetapi memerlukan satu tumpuan lain untuk menjawab. Ibarat kita bertanya juruterbang berapa ketinggian sekarang, kelajuan dan berapa lama lagi nak sampai sedangkan juruterbang sedang berhempas pulas mengawal keadaan mengatasi cuaca buruk di luar. Alasannya, sebelum ini pilot selalu bagi tahu kelajuan, jarak dan kedudukan semasa.

Di saat rakyat diminta patuhi arahan semasa, isu SOP kononnya golongan kayangan dapat keistimewaan. Artis tidak diambil tindakan. Sentimen ini akhirnya melahirkan sikap, ‘Depa boleh, kenapa aku tak boleh?’. Sedangkan kita dididik ‘kita jaga kita’. Biar kerajaan selesaikan isu ‘kayangan’ kerana ada prosedurnya. Ternyata mereka yang melanggar arahan dikenakan tindakan.

Apa yang ingin saya timbulkan ialah kebersamaan kita memerangi musibah COVID-19 ini. Pepatah lama berpesan, ‘kalau tak mampu pikul, jangan bergayut’. Ia merujuk budaya orang dulu-dulu pindah rumah dengan memikul beramai-ramai, tetapi ada pula yang bergayut menambah beban walaupun nampak bersama memikul rumah.

Sewajarnya kita bersyukur kerana Allah meletakkan kita dalam kemelut ini setelah kerajaan bertukar. Saya tak dapat bayangkan apa terjadi jika kita hadapi saat ini bersama kerajaan ‘RM30’, ‘negara hampir muflis’, ‘potong elaun doktor’ dan rakyat jangan bergantung dengan kerajaan.

Berilah ruang kerajaan mengatasi kemelut ini. Kita di saat sukar. Jangan ditambah kesukaran itu kerana ia akan menyebabkan kita mungkin tidak mampu keluar dari kesukaran dan bertambah sukar selamanya. 

“Kita Jaga Kita”

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 12/6/2021