Perpaduan negara: YDPA ketua utama Persekutuan

- Advertisement -

BADAN Perhubungan PAS Negeri Perak menegaskan bahawa amatlah penting untuk rakyat keseluruhannya menikmati kesejahteraan hidup dengan merealisasikan tiga objektif utama perpaduan negara iaitu mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara; membentuk identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, toleransi, saling hormat menghormati dan bertanggungjawab; serta melahirkan rakyat Malaysia yang menghargai dan mengamalkan perpaduan.

PAS Perak menzahirkan rasa dukacita di atas beberapa tindakan pihak tertentu yang mengeluarkan kenyataan menghina atau mempersendakan Yang di-Pertuan Agong dan institusi diraja kerana boleh menggugat kestabilan negara serta tidak memenuhi prinsip Rukun Negara yang kedua, Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

- Advertisement -

Oleh yang demikian, pihak kerajaan sewajarnya mengambil tindakan yang lebih tegas serta pantas terhadap mana-mana individu disyaki melakukan kesalahan seumpama itu, demi memastikan Institusi Diraja, kedaulatan undang-undang dan ketenteraman awam kekal terpelihara.

Malah turut bertentangan dengan Perkara 32, Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan dengan jelas bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah ketua utama Persekutuan yang mesti dihormati dan dipelihara kedudukannya.

Justeru, PAS Perak sangat berharap semua pihak bermula daripada pemimpin negara, pemimpin masyarakat mahu pun individu berpengaruh untuk menunjukkan contoh tauladan yang baik agar seluruh rakyat juga dapat menjadi individu yang bertanggungjawab dan cintakan tanah air.

“Perpaduan Negara”
Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB RAZMAN ZAKARIA
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 11/6/2021

- Advertisement -