Institusi Raja pamer keutuhan umat Islam

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Serangan pemikiran yang dilakukan pihak tertentu melalui medium sosial dengan menyasarkan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu dibimbangi boleh membawa kepada ketidakstabilan negara.

Ketua Penerangan PAS Perlis, Abu Harith berkata institusi raja melambangkan kekuatan sebuah kerajaan, malah mempamerkan keutuhan dan kekuatan umat Islam.

Katanya, Raja Berperlembagaan merupakan sistem diraja yang stabil bagi menjaga kesejahteraan dan keamanan rakyat yang terdapat di negara ini.

- Advertisement -

“Kewujudan sistem itu sejak dahulu lagi perlu dihargai bersama demi kesejahteraan dan keutuhan sebuah negara yang merdeka,” katanya ketika dihubungi di sini.

Semalam Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mendakwa wujud gerakan mencadangkan supaya Yang di-Pertuan Agong (YDPA) diberi cuti rehat selama enam bulan dan tugas YDPA akan dijalankan Timbalan YDPA Sultan Nazrin Shah.

Malah muncul seorang individu yang menulis dua artikel bertajuk ‘Sultan Nazrin Shah Yang di-Pertuan Agong’ pada 1 Jun 2021 dan Agenda Reset Malaysia: Jangan Halang Kemaraan ARM’ bertarikh 3 Jun 2021.

Kedua-dua tulisan yang ditulis Kamaludin Endol tular di media sosial menerusi aplikasi WhatsApp di mana ia boleh mendatangkan kebencian dan penghinaan terhadap raja atau kerajaan.

Abu Harith berkata, PAS Perlis tegas dengan pendirian bersolidariti bersama Yang Dipertua Agong demi kesejahteraan agama Islam dan negara yang dicintai.

Beliau juga berharap generasi muda hari ini diterap kefahaman dan pendedahan berkenaan institusi beraja bagi membolehkan mereka faham kedudukan sebenar.

“Tanggungjawab lebih besar kita hari ini untuk memberi kesedaran dan kefahaman kepada masyarakat tentang keutamaan mempertahankan institusi raja khususnya golongan muda.

“Mereka perlu diberi pendedahan dan kefahaman mengenai sejarah dan fungsi sistem tersebut dalam membentuk kestabilan negara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/6/2021

- Advertisement -