Menjelang setahun pemergian Pak Haji Subky Latif

- Advertisement -

DALAM bulan Jun 2020 yang lepas, PAS telah kehilangan tokoh veterannya, Haji Ahmad Subky Abdul Latif atau lebih mesra disapa sebagai Pak Haji Subky. Beliau adalah seorang tokoh besar dan berpengaruh di dalam PAS sejak awal 1980-an. Bintang politiknya mula menyinar apabila beliau sebagai Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat telah mencetuskan idea Konsep Kepemimpinan Ulamak PAS di satu muktamar parti itu di Bukit Mertajam. Gagasan beliau yang didukung oleh Muktamar Tahunan PAS 1982 di Kuala Lumpur itu telah membawa perubahan radikal kepada parti Islam tersebut untuk tempoh 40 tahun berikutnya.

Subky Latif sebenarnya seorang pemuda yang lahir dalam keluarga yang kuat beragama. Ayahnya, Haji Latif seorang Naib Kadi di Sitiawan, Perak dan menjadi penyokong kuat PAS. Sedangkan abangnya, Ustaz Baharuddin Latif adalah aktivis Hizbul Muslimin sebelum menjadi wakil rakyat PAS dan pernah juga menjadi Setiausaha Agung PAS. Tetapi beliau sendiri pada usia mudanya lebih banyak terlibat di dalam arus politik mainstream sebagai seorang wartawan. Beliau terlibat di dalam pelbagai pergolakan dan persaingan politik di dalam Umno, selain rapat dengan pemimpin-pemimpin utama Umno.

- Advertisement -

Ketika beliau menolak tawaran (Tan Sri) Melan Abdullah untuk menyertai Umno, tiba-tiba beliau memilih untuk menyertai PAS selepas kekalahan PAS di Kelantan pada 12 Mac 1978. Sejak itulah beliau mula aktif bersama PAS dengan menjadi Yang Dipertua PAS Kawasan Setapak dan dipilih sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil Pelabuhan Kelang dalam tahun 1978 itu. Selepas menghadiri satu persidangan media Islam Antarabangsa di Jakarta pada akhir dekad 1970-an, beliau telah bertindak mempelopori konsep kewartawanan dan media Islam di negara ini, yang sekali gus turut merancakkan proses ‘Islamic Revivalism’ pada dekad 1980-an.

Sejak 1983, Subky Latif menduduki kepemimpinan PAS Pusat dengan pelbagai jawatan sehingga 2005. Beliau mengasaskan Harakah, menggerakkan Kohilal, membawa PAS mendekati non-Muslim, menjalinkan hubungan PAS di peringkat Antarabangsa dan mengasaskan pergerakan veteran PAS, as-Sabiqun. Beliau mengetuai Sidang as-Sabiqun PAS Pusat sehingga akhir hayatnya. Jasa dan sumbangan beliau kepada PAS memang sangat banyak sehingga sewajarnya beliau dikenang dan diberikan penghargaan.

Ketika beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada 23 Jun 2020, banyak pihak menyebutkan kekaguman mereka terhadap Subky Latif yang dianggap tokoh unggul di dalam PAS. Beliau bukanlah seorang ulamak atau tokoh agama yang berpengaruh, tetapi kecintaan beliau terhadap kepemimpinan para ulamak telah membawa beliau ke jalan istiqamah. Beliau dikenang sebagai tokoh profesional PAS yang tegar mendukung kepemimpinan ulamak di dalam PAS.

Bagi menghargai dan mengenang sumbangan beliau di dalam dunia politik Malaysia, Islamic Institute of Independent Research on Democracy (IIIRD) akan mengadakan sebuah seminar online mengenai perjuangan Subky Latif pada hujung bulan Jun 2021 ini. Butir-butir lengkap seminar ini akan diuar-uarkan kemudian, insya Allah.

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 11/6/2021

Subky Latif… Lagenda kewartawanan Malaysia abad ke-20. Beliau telah menbina kerjaya politiknya melalui kewartawanan, kemudian bergerak aktif mempromosikan kewartawanan Islam pada dekad 1980-an. Melalui wadah PAS beliau bergerak dari Dewan Pemuda PAS sehingga akhirnya memimpin Sidang As-Sabiqun PAS.
Akhbar Berita Harian Online melaporkan kematian Pak Haji Subky Latif pada 23 Jun 2020 akibat MDS, iaitu kanser darah pada usia 80 tahun.
Datuk Dr Chamil Wariya, seorang wartawan terkemuka menulis tentang Subky Latif yang dianggap sebagai gurunya dalam bidang tersebut.
- Advertisement -