Kelantan: Islam, ulamak dan politik

- Advertisement -

PERBINCANGAN mengenai hubungan simbiosis di antara Islam, ulamak dan politik dalam konteks Kelantan adalah sangat signifikan kerana ketiga-tiga aspek ini saling berkaitan dalam memahami realiti politik dan perubahan-perubahan di Kelantan. Peranan para ulamak di dalam dakwah dan kepemimpinan politik begitu ketara di Kelantan sejak zaman-berzaman sehingga Islam dapat berdiri tegak dan teguh di dalam sejarahnya.

Semenjak kedatangan Syed Hussein Jamadil Kubra ke Kelantan pada 1349, peranan para ulamak melalui jalur istana begitu ketara sekali sehingga ia berkemuncak pada zaman Sultan Mansur (1891-1900). Menurut Catatan Wan Mohd Saghir, seorang ulamak bernama Sheikh Ali Abdullah telah tiba di Kelantan untuk berdakwah pada 1050, sedangkan WA Graham merekodkan pada 1908 bahawa Islam telah tegak di Kelantan sejak 700 tahun sebelumnya (tahun 1200). Wan Hussein Azmi sebaliknya menegaskan bahawa Kerajaan Islam yang pertama wujud di Tanah Melayu ialah di Kelantan, kerana Islam telah tiba di negeri ini sejak akhir abad ke-10. Seluruh dakwaan ini dibuktikan dengan penemuan dinar emas yang bertarikh 577H bersamaan 1181M yang mencatatkan ‘al-Julus Kelantan al-Mutawakkil ala Allah’ yang bermaksud ‘Kerajaan Kelantan berserah kepada Allah.’

Sepanjang sejarah, sejak abad ke-14, Kelantan telah berdiri sebagai sebuah kerajaan yang lebih besar dari Pattani dengan pengaruh ulamak yang kuat di dalam istananya. Setelah tunduk kepada Melaka pada awal abad ke-16, Kelantan kemudiannya berada pula di bawah kekuasaan Pattani. Pada zaman Pattani ini, para ulamak menjadi pentadbir utama kerajaan, sekali gus menjadi sayap kanan para sultan. Akhirnya, selepas 1650, Kelantan mula mempunyai sejarahnya tersendiri dengan pengaruh Kesultanan Jembal (1638-1733) dan Kesultanan Dinasti Long Yunus (sejak 1765). Sepanjang abad ke-19, bermula zaman Sultan Mohamad I (1800-1835) hingga zaman Sultan Mansor (1892-1900), Islam dicatatkan berada di kemuncak pengaruhnya di Kelantan.

- Advertisement -

Memasuki abad ke-20, Kelantan berhadapan dengan pengaruh Inggeris dan menularnya Sekularisme. Pada separuh pertama abad ini (1903-1957), Siam dan Inggeris boleh dikatakan  menguasai dasar-dasar politik Kelantan yang melemahkan kedudukan Islam. Tetapi pada separuh kedua abad ke-20 (1959-2000), iaitu sejak bermulanya zaman politik demokrasi, Islam telah diberikan semula tempatnya oleh rakyat Kelantan. Pada kedua-dua era ini, para ulamak memainkan peranan besar. Pada awalnya, watak-watak Dato’ Perdana Nik Mahmud, Tok Kenali dan Dato’ Laksamana Muhammad Mohd Said telah menjadi tenaga utama, sedangkan selepas merdeka, watak Dato’ Ishak Lotfi Omar, Dato’ Mohd Asri Haji Muda dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjadi penyambungnya.

Perjuangan dan pergerakan para ulamak di Kelantan bukan hanya melalui jalur pentadbiran yang diterjemahkan oleh Dato’ Perdana Nik Mahmud, tetapi juga melalui pendidikan yang diwakili oleh Tok Kenali, perperangan dengan watak Tok Janggut, pemugaran kesedaran Islam melalui peranan Maulana Abdullah Nuh, gerakan inteligensia Islam yang dimainkan oleh Abdul Kadir Adabi, hinggalah gerakan kepartian melalui sumbangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Para ulamak di Kelantan telah menjadi dominan dan berpengaruh bukan sahaja terhadap istana yang menjadi sumber kuasa politik Feudal, tetapi juga terhadap rakyat yang dianggap sumber kuasa pada zaman demokrasi.

Seluruh perbincangan mengenai kedudukan Islam dan pengukuhan politik melalui peranan para ulamak di Kelantan ini telah saya ungkapkan di dalam buku terbaru saya, Kelantan: Islam, ulamak dan politik yang akan memasuki pasaran pada minggu ini. Buku terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dengan kerjasama Urusetia Penerangan dan Komunikasi Negeri (UPKN) Kelantan setebal hampir 400 muka surat ini diterbitkan sempenaSambutan 3 Dekad Membangun Bersama Islam yang diraikan dalam bulan Oktober pada tahun 2020 ini. Semoga tulisan ini memberi manfaat dalam merekodkan perkembangan Islam di Kelantan, sekali gus menambahkan koleksi penyelidikan mengenai Kelantan.

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 26/10/2020

- Advertisement -