Lagi pelaburan asing RM8.5 bilion ke Kedah

AT&S syarikat teknologi tinggi terkemuka dunia pilih melabur ke KHTP

rm8.5
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kedah menerima satu lagi pelaburan langsung asing (FDI) diluluskan mencecah nilai RM8.5 bilion dari syarikat Austria Technologie & Systemtechnic AG (AT&S).

- Advertisement -

Gergasi teknologi dunia peneraju pembuatan papan litar bercetak (PCB) dan substrat litar bersepadu (IC) global itu bakal membina fasiliti di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima pengumuman rasmi tersebut dari pengurusan syarikat itu diketuai Ketua Pegawai Eksekutif AT&S, Andrea Gerstenmayer.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali turut serta dalam sidang video yang dilangsungkan tersebut pada hari ini.

Pelaburan pertama di Asia Tenggara bernilai Euro1.7 bilion syarikat berpangkalan di Austria itu adalah selepas mempunyai pengeluaran sama di India, China dan Korea Selatan.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada semalam telah melaporkan FDI berjumlah RM43 bilion yang diterima negeri Kedah bagi suku pertama tahun 2021.

AT&S yang akan membina kilang pengeluarannya pada suku kedua 2021 dan dijangka beroperasi pada tahun 2024 bakal mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan berteknologi dan berimpak tinggi.

Komponen keluaran AT&S banyak digunakan di seluruh dunia dalam peranti mudah alih, elektronik industri, aplikasi automotif serta teknologi perubatan dan kesihatan.

Azmin berkata, pelaburan AT&S itu bukti keyakinan pelabur asing terhadap prospek negara ini serta sumber daya manusia yang ada untuk menangani tuntutan teknologi industri berimpak tinggi.

Muhyiddin juga menyuarakan nada sama betapa keputusan kumpulan itu menunjukkan keyakinan terhadap keupayaan ekonomi Malaysia dan janji pertumbuhan berterusan.

“Penyertaan AT&S di Malaysia juga akan meningkatkan pengembangan ekosistem semikonduktor kami, memungkinkan peluang untuk vendor tempatan kami dalam bidang elektronik canggih dan memacu pekerjaan berteknologi tinggi untuk rakyat Malaysia,” tambahnya.

Gerstenmayer mengatakan, setelah mencari lokasi secara intensif di seluruh dunia, Malaysia telah muncul sebagai negara di mana syarikat itu ingin terus maju dengan strategi ‘More Than AT&S’.

“AT&S membawa generasi terbaru teknologi canggih ke negara ini dan membangun sektor teknologi yang sama sekali baru.

“Di samping pembuatan produk berteknologi tinggi, sejumlah besar kegiatan R&D akan dilaksanakan di lokasi baru ini.

Malaysia dapat memanfaatkan kedudukannya sebagai negara teknologi dan dapat memperkukuhkan rantau ini sebagai pusat pembuatan teknologi tinggi di Asia,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/6/2021

- Advertisement -