Blok pemikiran

- Advertisement -

DALAM perbincangan mengenai pemikiran, kita perlu memahami blok. Blok-blok yang saya maksudkan ialah teras atau asas kemunculan sesuatu pemikiran (ideologi). Contohnya pemikiran yang serangka dengan Liberalisme ialah Sekularisme, Existentialisme, Kapitalisme, Positivisme dan sebagainya yang berteraskan kepada kebebasan dan ketuanan manusia. Blok pemikiran ini bertembung dengan Sosialisme, Absolutisme, Komunisme dan sebagainya. Ini dari satu sudut. 

Dari sudut yang lain, pemikiran seperti Sekularisme, Liberalisme, Nasionalisme, Agnotisme, Skeptisme, Materialisme, Rasionalisme dan Empirisisme berada dalam blok pemikiran yang berteraskan kepada membelakangkan agama dan konsep ketuhanan. Rata-rata kemunculan semua rangka ini pada era Reinassance.

- Advertisement -

Dalam Encyclopedia Britannica menyatakan bahawa pada era Reinassance selain munculnya istilah negara bangsa, muncul juga reformasi agama. Reformasi ini merujuk pada abad ke-16, yang memecahkan Kristian kepada dua blok, Katholik dan Protestan (Luther). Ia juga berkaitan dengan blok pemikiran.

Pada abad 17-18 Masihi, ia dikenali sebagai zaman Enlightenment. Rasionalisme zaman era ini tak setuju dengan Rasionalisme zaman Yunani dari sudut metafizik. Hasilnya, lahirlah Empirisisme. Selain itu, suburnya pemikiran Naturalisme, Skeptisisme yang dikembangkan oleh David Hume. Pengaruh beliau mempengaruhi Utilitarianisme dan Immual Kant. Dalam masa yang sama Immual Kant menolak teori Utilitarianisme.

Bermula abad ke-18, dunia Barat berkembang ke zaman Modern Age. Khalif Muammar menyatakan dalam buku Atas Nama Kebenaran (2006). Zaman ini rata-rata pemikiran berasaskan tiga dasar, iaitu;

1. Ateisme-Agnotisme: Kewujudan tuhan yang diragui.

2. Immanentisme : Alam itu wujud dengan sendiri

3. Rasionalisme.

Ketiga-tiga asas inilah yang membentuk blok-blok pemikiran yang pelbagai. Era ini lahirlah Darwinisme, Komunisme, Sosialisme, Humanisme Auguste Comte dan Pluralisme John Hick. Barat menganggap perkembangan ideologi yang ‘membanggakan’ ini merupakan satu kejayaan yang tercipta hasil revolusi.

Revolusi itu juga dianggap sebagai satu keajaiban. Kenneth Pomeranz contohnya mengemukakan istilah The Great Divergence yang dianggap sebagai keajaiban Eropah. Ini kerana proses ini menjadikan dunia Barat muncul pada abad ke-19 sebagai tamadun dunia yang paling hebat.

Walaupun dilihat sebagai satu keajaiban oleh mereka, namun dari sudut yang lain, ideologi ini terus berkembang, bertembung dan melahirkan blok-blok. Contohnya blok Idealisme dan Realisme yang selalu juga bertembung. Begitu juga Modernisme vs Pascamodernisme, Rasionalisme vs Empirisisme dan banyak lagi.

Antara kemuncak pertembungan ideologi ini boleh dilihat dalam pertembungan Amerika vs Soviet antara 1947 hingga 1992. Amerika yang ‘menganut’ Liberalisme Kapitalisme bertembung dengan Soviet yang ‘menganut’ Sosialisme Komunisme. Ia juga dikaitkan dengan keghairahan untuk menguasai dunia.

Kita perlu sedar, pertembungan ideologi dan blok-blok pemikiran ini bermula daripada beberapa perbincangan, antaranya ‘Bagaimana nak menentukan kebenaran?’. Ada pemikiran-pemikiran yang lahir daripada perbincangan ‘Apa tujuan kita dihidupkan?’. Ada juga lahir daripada pemikiran ‘Apa asal usul kita?’

Perbincangan-perbincangan ini telahpun diselesaikan di dalam al-Quran dan Hadis Nabi S.A.W. Sebab itulah Islam adalah agama yang memandu manusia berfikir. Pemikiran perlu dibetulkan, bukan disekat. Jangan gambarkan Islam itu umpama Kristian di zaman kegelapan yang sarat dengan Dogmatisme yang menyekat perkembangan pemikiran manusia.

MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 10/6/2021

- Advertisement -