Kes jangkitan sporadik membimbangkan – Exco

- Advertisement -

Oleh RIZAL TAHIR

KOTA BHARU: Orang ramai dinasihat sentiasa berwaspada terutamanya ketika berada di luar rumah dengan mengutamakan memakai pelitup muka.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin berkata, kes aktif Covid-19 masih tinggi di mana penularannya pula semakin menjadi-jadi.

Katanya kes yang berlaku sekarang diklasifikasikan sebagai kes jangkitan sporadik iaitu jangkitan tidak dapat dikesan dari mana.

- Advertisement -

“Sama ada ia berpunca dari tempat kerja atau dalam kalangan komuniti setempat,” katanya pada kenyataan di sini hari ini.

Dr Izani juga berkata, jangkitan Covid-19 boleh berlaku melalui titisan cecair badan sama ada air liur atau bersin melalui bawaan udara.

“Apa yang membimbangkan, kita tidak dapat mengenal pasti individu mana yang membawa virus tersebut. Bahkan lebih merisaukan, pembawa virus tidak menunjukkan sebarang gejala jangkitan.

“Tambahan pula virus Covid-19 kini berevolusi varian baharu yang mudah merebak,” ujarnya.

Kata beliau juga setiap anggota masyarakat mesti beranggapan setiap orang yang berada di sekeliling berpotensi menjadi pembawa virus.

Sehubungan itu, beliau rakyat Kelantan mengambil langkah berjaga-jaga dengan menjaga penjarakan fizikal, di samping melindungi diri dari sebarang kontak rapat.

Katanya kita mungkin boleh memperdaya pihak berkuasa namun virus tidak dapat mengelakkan sekiranya sudah terdedah.

“Kita harus sedar virus Covid-19 tidak memilih untuk menjangkiti sesiapa, baik mereka yang tinggal di bandar atau di kampung. Muda atau tua, miskin atau kaya,” ujarnya.

Beliau berkata, betapa hebatnya kesan virus itu hanya dapat dirasai mereka yang telah dijangkiti kerana ia cukup memilukan di mana pesakit sukar bernafas sehingga perlu bergantung bantuan mesin.

Selain itu pesakit terpaksa ditahan bersendirian dan keluarga tidak dibenarkan untuk menjaga.

“Apa yang lebih menyayat hati lagi apabila berlaku kematian kerana Covid-19, ahli keluarga tidak dapat berada di sisi jenazah sehingga dikebumikan.

“Sudah banyak kisah yang menyayat hati yang terkena dengan jangkitan Covid-19 boleh dijadikan sebagai pengajaran,” katanya.

Oleh itu katanya, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan kekal di rumah dan keluar bila ada keperluan antara langkah paling efektif. – HARAKAHDAILY 9/6/2021

- Advertisement -