Langkah jangka pendek dan panjang atasi isu minyak masak

- Advertisement -

KELUHAN rakyat yang sebahagian besar kini berada di rumah kerana mematuhi Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 harus menggegar kesedaran semua pihak. Kerana di sana ada tanggungjawab pihak yang berkuasa untuk menyantuni dengan memberi perhatian dan tindakan hal ehwal mereka atas kesulitan dan maslahat dihadapi bersama ketika ini.

Kenaikan harga minyak masak dalam botol yang ada dijual hingga RM36 di pasaran sememangnya mencetus resah di kala kepayahan sedang melata saat ini. Ketika mana kepentingan 3 juta pekebun sawit dan keluarga mereka perlu dijaga di samping harga tinggi pasaran sawit dapat dikekalkan, kepentingan penggunaan harian minyak masak kepada 32 juta rakyat juga mesti menjadi pertimbangan.

- Advertisement -

Dalam mengatasi situasi ini, kami mengira Kerajaan Perikatan Nasional yang ternyata telah membumikan keprihatinan sejak mengambil alih pemerintahan negara amat maklum desakan hidup dialami rakyat sejak pandemik COVID-19. Kita pasti sedar dengan kebanyakan masa berada di rumah turut menyebabkan keperluan asas terutama makanan lebih banyak digunakan bagi keluarga.

Namun, di samping mencukupkan keperluan asas rakyat di pasaran, kawalan harga juga mestilah diseimbangkan antara kepentingan pengeluar bersama rantaian perniagaannya dan rakyat sebagai pengguna. Kita mahu, kelangsungan hidup dalam cabaran kesempitan sedang dilalui kini mesti tenang dari sebarang masalah yang boleh ditangani dengan keterbukaan untuk membantu.

Benar kerajaan telah memberi subsidi sangat banyak untuk minyak masak paket, tetapi tidak kepada botol serta mengesyorkan pilihan belian paket. Pun begitu realiti penggunaan dan stok pasaran menyebabkan minyak masak baik dalam paket dan botol tidak mengenal taraf pendapatan rakyat. Ia lebih mendasar sebagai keperluan asas bagi kegunaan harian.

Sehubungan itu, dalam mengurus isu tersebut, suka kami mengemukakan cadangan berikut bagi dipertimbang dan diselesaikan pihak kerajaan. Kami percaya, ia dapat meredakan sedikit ketegangan hidup rakyat ketika ini. Pertama, tambah sedikit lagi subsidi termasuk untuk minyak masak botol. Kedua, kurangkan pengeluaran minyak masak botol, tetapi banyakkan paket.

Ketiga, hadkan maksimum pembelian dalam sehari bagi setiap isi rumah kecuali pengendali makanan atau operasi makanan. Keempat, utamakan dahulu memenuhi keperluan minyak masak dalam negara berbanding eksport dan kelima, ketatkan lagi pemantauan dan kawalan penyeludupan minyak masak di sempadan negara yang dilaporkan sering cuba dilakukan pihak tertentu.

Langkah jangka pendek ini tentunya dapat seimbangkan segala kekalutan dan ketidakpuasan hati di mana mungkin dimarakkan pula oleh adu domba dan salah faham pihak yang berkepentingan. Pun begitu kerajaan boleh juga mengambil langkah jangka panjang iaitu dengan mengadakan penetapan dua harga berbeza untuk jualan dalam negara dan pasaran luar negara.

Langkah ini bukan sahaja dapat menurunkan harga jualan minyak masak sawit sama ada paket dan botol, tetapi juga meringankan tanggungan subsidi di pihak kerajaan. Paling penting rakyat termasuk para pekebun sawit serta keluarga mereka dapat menikmati hidup tanpa terjejas. InsyaAllah, kesejahteraan rakyat akan lebih memakmurkan di bawah teraju kerajaan yang prihatin.

Kami juga mencadangkan supaya satu pasukan khas untuk mengkaji mekanisme kawalan harga serta pasukan penguatkuasaan melibatkan kolaborasi antara kementerian. Ia untuk menjamin kawalan harga keperluan bersepadu setiap masa bagi kepentingan bersama pengguna, penggerak industri dan pemegang taruh berkaitan.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB USTAZ AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Timbalan Pengerusi
Lajnah Pekerja dan Kepenggunaan PAS Pusat
Ahli Parlimen Sik – HARAKAHDAILY 9/6/2021

- Advertisement -