Warga emas 120 tahun terima suntikan vaksin

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU: Seorang wanita berusia lebih 120 tahun menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Siti Liah Mamat dipercayai wanita tertua di Kelantan merupakan antara individu yang dikenal pasti memenuhi kriteria menerima suntikan vaksin di SPPV HUSM hari ini.

Beliau antara 84 warga emas yang disenaraikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

- Advertisement -

Timbalan Pengarah Operasi HUSM Prof Dr Mohd Imran Yusof berkata, SPPV di HUSM bertanggungjawab memberi suntikan vaksin kepada semua pesakit yang berdaftar dengan hospital terbabit dan pesakit luar.

Katanya daftar itu dirujuk oleh Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Komuniti dan menepati kriteria selepas pemeriksaan (pre-vaccination assessment, PVA) oleh pegawai perubatan di mana-mana klinik atau fasiliti rawatan di HUSM.

“Antara kriteria yang ditetapkan berumur 60 tahun ke atas atau berumur 18 hingga 60 tahun dengan penyakit kronik dan berisiko tinggi sekiranya diberi vaksin di PPV komuniti.

“Pendaftaran vaksin boleh dibuat dengan pegawai perubatan di mana-mana klinik di HUSM dan panggilan temujanji suntikan akan dipaparkan menerusi aplikasi MySejahtera penerima.

“Siti Liah merupakan antara individu yang tergolong dalam kriteria tersebut dan mengesahkan kehadiran untuk menerima suntikan vaksin,” ujarnya ketika ditemui pada program berkenaan.

Dr Mohd Imran berkata, faktor usia penerima vaksin (Siti Liah) tergolong dalam kategori berisiko tinggi, pemantauan perlu dilakukan bagi memastikan beliau tidak mengalami sebarang kemudaratan.

“Selepas selesai divaksinasi dan menjalani tempoh pemerhatian, Alhamdulillah tiada sebarang masalah dialami oleh penerima dan beliau dibenarkan pulang,” katanya.

Siti Liah ketika ditemui melahirkan rasa syukur dan merakam ucapan terima kasih kepada HUSM di atas kerjasama bagi membolehnya menerima suntikan vaksin Covid-19.

Beliau juga berharap orang ramai segera mendaftar untuk menerima suntikan vaksin bagi membantu kerajaan menangani pandemik Covid-19.

Turut menerima suntikan vaksin seorang warga emas berusia 90 tahun dari Rantau Panjang, Gan Giok Hiang.

Beliau ditemani anak saudaranya Lim Mik Way, 79, di mana keduanya-duanya berbangga menerima suntikan di SPPV HUSM. – HARAKAHDAILY 9/6/2021

- Advertisement -