Adun sedia bantu pusat vaksin di Pusat Kesihatan

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

PADANG SERAI: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Kesihatan Karangan dekat sini agak sesak dengan kehadiran ramai penduduk yang mendapat temujanji vaksinasi.

Sehubungan itu Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Dun Merbau bersedia membantu memberi keselesaan khususnya kepada penerima vaksin Covid-19.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan, Pembasmian Kemiskinan dan Kesejahteraan Rakyat, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, terdapat maklumat berlaku sedikit kesesakan di di lokasi terbabit terutama pada hari bekerja.

- Advertisement -

“Insya-Allah PKWR Merbau Pulas bersedia membantu sekiranya diperlukan untuk membantu melancarkan proses vaksinasi,” ujar beliau selepas melawat PPV terbabit semalam.

Program vaksinasi di PPV Pejabat Kesihatan Karangan setakat ini diadakan tiga hari seminggu iaitu Khamis, Jumaat dan Sabtu.

Pada lawatan itu Siti Ashah yang juga Adun Merbau Pulas turut meninjau PPV di Hospital Kulim.

“Alhamdulillah program vaksinasi di Hospital Kulim berjalan lancar. Setinggi-tinggi penghargaan dirakam kepada semua pihak yang terlibat,” katanya.

Sehingga sekarang seramai 400 penduduk sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 di PPV hospital terbabit.

Sempena lawatan kedua-dua lokasi terbabit Siti Ashah turut menyampaikan ‘buah tangan’ kepada petugas barisan hadapan di Pusat Kesihatan Karangan dan Hospital Kulim.

Sebelum itu anggota Exco bersama petugas Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Kulim menyampaikan sumbangan kepada keluarga yang terjejas akibat perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Sumbangan tersebut melibatkan penduduk di Kampung Batu Puteh dan Pagar Museh yang turut disertai sukarelawan PKWR Dun Merbau Pulas. – HARAKAHDAILY 9/6/2021

- Advertisement -