Anggota bomba urus 10 jenazah pesakit Covid sehari

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU: Jumlah kematian pesakit Covid-19 di Kelantan meningkat dengan mendadak tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Zainal Madasin berkata, tahun ini sehingga semalam sebanyak 250 jenazah diurus pihaknya.

Sedangkan katanya tahun lepas hanya 12 jenazah sahaja diuruskan JBPM.

- Advertisement -

“Anggota kami pernah membantu menguruskan 10 jenazah Covid-19 di beberapa daerah di Kelantan dalam tempoh sehari.

“Seramai 30 anggota di bawah Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) ditugaskan untuk tujuan itu.

“Seramai 10 petugas ditugaskan dalam satu-satu masa bagi membantu masyarakat menguruskan jenazah Covid-19. Ia dilakukan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” ujarnya selepas meninjau proses sanitasi di Pejabat New Straits Times Press (NSTP) di sini, hari ini.

Turut dilakukan sanitasi Pejabat RTM, Harakah dan Bernama yang dilakukan anggota Bomba dan Penyelamat. Program itu diadakan dengan kerjasama Kelab Media Darulnaim (Kemudi).

Zainal juga berkata, pihak waris pesakit tidak mampu menguruskan jenazah Covid-19 kerana risau terhadap keselamatan diri mereka.

Menurutnya juga bagi masa akan datang, pihaknya bercadang bekerjasama dengan waris si mati bagi membantu mereka menguruskan jenazah ahli keluarga yang meninggal dunia akibat Covid-19.

“Kami bersedia mengambil tanggungjawab itu sebagai khidmat bersama masyarakat. Pada masa yang sama diharap ia dapat menerbitkan rasa keinsafan kepada pihak kami,” ujarnya.

Beliau juga berkata, setakat ini lebih 2,000 premis yang disanitasi pihaknya di Kelantan.

Kata beliau proses berkenaan dilakukan selepas sesebuah premis atau pejabat itu mempunyai kes positif Covid-19 atau mendapat permintaan daripada mereka. – HARAKAHDAILY 9/6/2021

- Advertisement -