Menuju Malaysia Lestari 2030

PADA hari Sabtu yang lalu, 5 Jun 2021, bertepatan dengan Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah melancarkan satu pelan strategik untuk mencapai Malaysia yang lestari menjelang 2030. Pelan tersebut yang dikenali sebagai ‘Kelestarian Alam Sekitar di Malaysia’ (Environmental Sustainability in Malaysia)telah dilancarkan oleh YB Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pelancaran pelan strategik ini menjadi satu mercu tanda yang penting kepada KASA yang telah ditubuhkan lebih setahun yang lalu, kerana di dalam pelan ini digariskan secara terperinci apa yang seharusnya dicapai oleh negara berkaitan dengan kelestarian alam sekitar 10 tahun yang akan datang. Ia juga menjadi petunjuk yang penting bagi YB Menteri Alam Sekitar dan Air setelah lebih setahun mengemudi kementerian tersebut.

Advertisement

Di dalam pelan strategik tersebut kedua-dua sektor yang menjadi tanggungjawab kementerian, iaitu Sektor Alam Sekitar dan Sektor Air Pembetungan diberi perhatian yang seimbang. Kedua-dua sektor ini menjadi elemen yang terpenting untuk mencapai kelestarian alam sekitar di Malaysia, iaitu merangkumi 26 inisiatif yang digariskan sebagai petunjuk pencapaian.

Kesemua 26 inisiatif tersebut terbahagi dalam empat kategori iaitu Pengukuhan Tadbir Urus, Pertumbuhan Hijau, Kolaborasi Strategik dan Keterangkuman Sosial. Dengan pengertian lain, kesemua 26 inisiatif yang digariskan tersebut merupakan satu pendekatan holistik yang akan dilaksanakan oleh KASA sehingga tahun 2030, yang natijahnya nanti dapat diukur dari semasa ke semasa.

Antara yang terangkum di dalam 26 ini ialah Kebersihan Sungai, Kualiti Udara, Indeks Pencapaian Alam Sekitar, Kecekapan Perkhidmatan Air, Pertumbuhan Ekonomi Hijau, Pelaburan Alam Sekitar, Kerjaya Alam Sekitar, Pengurangan Intensiti Karbon, Pengwujudan Pusat Inventori Kebangsaan Gas Rumah Hijau, Denai Sungai Kebangsaan dan lain-lain lagi.

Pelan strategik ini adalah usaha secara kolektif berpasukan yang dilakukan oleh semua pegawai-pegawai KASA dan agensi-agensi yang berada di bawah kementerian ini. Kerjasama yang padu dalam kalangan semua mereka inilah yang telah menghasilkan pelan strategik yang lengkap itu, justeru ia menuntut pula kepada kerjasama yang lebih padu untuk pelaksanaannya.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Setiausaha Politik Menteri KASA – HARAKAHDAILY 8/6/2021