KASA terajui pembangunan mampan negara

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyasarkan menerajui pembangunan mampan negara melalui Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

Menteri KASA Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebagai komitmen berterusan, pihak kementerian terus menerajui usaha memenuhi SDG dan Perjanjian Iklim Paris 2015 dengan pelbagai program.

Aktiviti yang dilaksanakan oleh Nahrim katanya dalam bentuk kajian dan produk saintifik yang dihasilkan seperti unjuran perubahan hodroiklim dan peningkatan aras laut di Malaysia sehingga 79 tahun akan datang.

- Advertisement -

Katanya bagi mencapai tujuan tersebut Nahrim sedang membangunkan sebuah portal pengurusan data maya secara Analisis Data Besar (BDA) dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu).

“Nahrim juga bekerjasama dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bagi membangunkan sebuah lagi laman sesawang yang menggunakan teknologi BDA iaitu Malaysian Adaptation Index (Main).

“Nahrim juga akan menyediakan portal unjuran hidroiklim bagi pengurusan data maya secara (BDA) iaitu Hydro-Climate Data Analytic Accelerator (N-Hydaa) yang merupakan produk BDA pertama dihasilkan dalam negara pada 2017.

“Sehingga kini Nahrim bersama KeTSA bagi membangunkan teknologi yang berupaya memberi maklumat kepada pihak berkepentingan di negara ini dalam sudut kesediaan dalam menghadapi kesan perubahan iklim,” katanya ketika melancar Pelan Strategik KASA 2020-2030 : Kelestarian Alam Sekitar sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2021 hari ini.

Program yang diadakan setiap 5 Mei itu bagi tahun ini diadakan secara atas talian. Sambutan itu diadakan bermula tahun 1974 sebagai usaha menangani isu alam sekitar.

Tuan Ibrahim berkata, penghasilan pelan tersebut dijangka mampu menetapkan hala tuju strategik bagi mencapai visi dan misi kementerian selain mencapai matlamat negara.

Sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2021 terbabit turut dilancar buku bertajuk ‘Climate Change Adaptation Framework for Water Sector’ yang dikeluarkan oleh Nahrim.

Buku berkenaan menggariskan kerangka perancangan dan strategi pelaksanaan perubahan iklim bagi pengurusan sumber air, perkhidmatan air dan bencana yang akan digunapakai dalam penyediaan dan pembangunan Pelan Adaptasi Nasional. – HARAKAHDAILY 5/6/2021

- Advertisement -