AWAL semalam Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin telah mengumumkan bahawa sesi persekolahan yang akan bersambung pada 13 dan 14 Jun ini akan diteruskan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyambut baik dan menyokong penuh keputusan yang telah dibuat tersebut.
Dalam keadaan negara kita masih dibelenggu dengan ancaman COVID-19, keputusan yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengambil kira nasihat yang diberikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Justeru, sesi pengajaran dan pembelajaran adalah lebih wajar diteruskan menerusi atas talian bagi membendung penularan COVID-19 kepada pelajar-pelajar.
GPMS menyokong penuh kenyataan YB Menteri Kanan Pendidikan bahawa guru sendiri lebih mengenali dan memahami pelajar masing-masing. Para guru perlu diberi autoriti bagi menentukan cara yang bersesuaian dan lebih efektif dalam memastikan kemenjadian pelajar yang dididik oleh mereka.
GPMS juga menyambut baik agenda TV Pendidikan menerusi 15 jam siaran Didik TV KPM, 4 jam siaran Astro Tutor TV dan 2 jam siaran TV Okey RTM diteruskan bagi memastikan pelajar-pelajar yang menghadapi kekangan peranti dan gajet, dapat mengikuti sesi pembelajaran dengan baik juga. Sokongan dan dukungan daripada ibu bapa juga merupakan salah satu item penting bagi menjayakan PdPR.
Selain daripada itu, Projek Rintis Peranti – Inisiatif Cerdik menerusi Yayasan Hasanah juga telah dalam proses pelaksanaan sebagaimana yang telah dijanjikan. GPMS mengambil maklum sebanyak 12,887 peranti telah diagihkan di 51 Pejabat Pendidikan Daerah bagi 95 buah sekolah manakala 40,290 peranti bakal diserahkan menjelang 12 Jun 2021. Selain itu, agihan baki 96,823 peranti akan dilaksanakan sebelum akhir September 2021.
Dalam masa yang sama, GPMS mengucapkan tahniah kepada KPM atas pelaksanaan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2020 walaupun berhadapan dengan pelbagai kekangan yang mana Keputusan SPM 2020 bakal diumumkan pada 10 Jun 2021. GPMS juga berterima kasih kepada KPM yang berusaha sedaya-upaya bagi memastikan guru-guru mendapat vaksin dengan segera. Alhamdulillah seramai lebih 70 ribu orang guru telah menerima vaksin sekurang-kurangnya dos yang pertama.
Dengan pengumuman YB Menteri Kanan Pendidikan semalam, GPMS mengharapkan agar proses PdPR yang akan berlangsung bakal berjalan dengan baik menerusi kerjasama dan sokongan daripada semua pihak yang terbabit. GPMS menyeru agar semua pihak terutamanya guru dan ibu bapa dapat berganding bahu membantu antara satu sama lain agar pelajar akan menempa kejayaan yang lebih cemerlang satu hari nanti.
MOHD ALIF ANAS MD NOOR
Presiden GPMS – HARAKAHDAILY 7/6/2021
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!