Ketum pula didakwa boleh merawat COVID-19?

- Advertisement -

ISU INI sejak daripada bulan Mac tahun lepas (2020) lagi dan telah pun dijawab bahawa ketum tidak sesekali boleh merawat COVID-19. Bahkan tidak ada pun bahan dalam ketum itu boleh mencegah atau membunuh virus COVID-19. Yang jadi viral juga itu hanya troll dari geng-geng Mat Ketum yang sengaja nak menaikkan ketum supaya senang mereka minum ketum, itu saja.

Antara hujah pelik mereka mengatakan bahawa buah ketum itu sama bentuk dengan Virus Corona. Kalau inilah asas berfikir bagi orang Melayu dan Islam, memang kurang cerdik. Kenapa tak dakwa buah durian ke buah rambutan ke? Bentuk pun lebih kurang sama juga atau sprocket basikal pun bentuk sama juga?

- Advertisement -

Sebagai sebuah masyarakat yang berilmu kita mesti mempunyai disiplin ilmu bagaimana untuk menzahirkan sesuatu dakwaan. Tidak boleh semata-mata kita melihat dari segi mata kasar dan terus kita mendakwa bahawa sesuatu bahan itu boleh merawat sesuatu. Ianya perlulah dibawa bukti melalui penerokaan dan kajian. Inilah yang diterapkan dalam agama kita sebagai orang yang berfikir dan mengkaji sebab akibat sesuatu itu boleh berlaku.

Saya baca artikel dari Indonesia, katanya Ketum boleh merawat COVID-19. Tetapi artikel itu berbentuk andaian semata-mata, bukan pun bentuk penulisan kajian. Malah boleh saya katakan ianya khayalan. Virus COVID-19 baharu setahun lebih timbul, mereka sudah mendabik dada dan mendakwa bagai. Masa mana mereka dapatkan sampel kajian? Bila metodologi kajian mereka diluluskan? Di sini pun nampak sudah tak betul dakwaan begitu.

Malah, apa yang pasti, kajian mendapati bahawa bagi pesakit yang mengambil ketum atau bahan terlarang boleh mendatangkan mudarat yang lebih teruk berbanding dengan orang lain. Bahan aktif Metragynine dalam ketum itu adalah dimasukkan di bawah kategori dadah bahaya yang boleh merosakkan mental (psycho-active).

Dah itu tak ada kajian ke setakat ini untuk merawat COVID-19? Ada, terdapat beberapa kajian yang telah pun dibuat dan dimasukkan ke dalam pelaporan jurnal. Tapi kesemuanya tidak menemui jalan penyelesaian. Keputusan tidak konklusif. Lihat rujukan kajian oleh Darshan Singh (2020).

Jadi oleh kerana buat masa ini belum lagi ada kajian yang tuntas bawa ketum ini boleh mencegah atau merawat COVID-19, tak perlulah diviralkan dan menggesa kerajaan untuk menggunakan ketum untuk merawat pesakit-pesakit COVID-19.

Dari elok-elok saja pesakit duduk dekat pusat kuarantin, tiba-tiba semua jadi khayal akibat daripada minum ketum. Jadi cerita lain pula. Letih pula frontliners duduk layan Mat Ketum. Dahlah pesakit yang di dalam ICU atau wad kritikal itu perlu perhatian penuh tanpa ganggu gugat dengan benda yang masih belum pasti, tiba-tiba nak layan pula permintaan yang belum tentu itu.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 7/6/2021

Rujukan:
Singh D, Brown PN, Cinosi E, Corazza O, Henningfield JE, Garcia-Romeu A, McCurdy CR, McMahon LR, Prozialeck WC, Smith KE, Swogger MT, Veltri C, Walsh Z, Grundmann O. Current and Future Potential Impact of COVID-19 on Kratom (Mitragyna speciosa Korth.) Supply and Use. Front Psychiatry. 2020 Nov 26;11:574483. doi: 10.3389/fpsyt.2020.574483. PMID: 33324252; PMCID: PMC7726130.

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -