Institusi Raja payung tempat rakyat berteduh

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU: Setiap anggota masyarakat perlu terus mempertahankan Institusi Raja-raja Melayu sebagai payung kepada rakyat negara ini tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan.

Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Perlis Ustazah Latifah Mat berkata, institusi itu tidak boleh dilihat untuk orang Melayu sahaja.

Katanya ia seperti payung tempat berteduh untuk semua rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan taraf hidup.

- Advertisement -

“Kita tidak boleh membiarkan institusi itu dipersoalkan kerelevannya sehingga muncul suara sumbang yang mahukan Malaysia menjadi republik sekali gus memansuh sistem monarki,” katanya di sini hari ini.

Baru-baru ini tular video menghina Yang di-Pertuan Agong yang dimuat turun dalam media sosial dipercayai milik Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak Iswardy Morni.

Berikutan itu pelbagai pihak membuat laporan polis terhadap pemimpin PKR terbabit, sehingga dia dihadap ke mahkamah atas dakwaan menghasut.

Latifah juga berkata, institusi Raja-raja Melayu merupakan ketua agama Islam di peringkat negeri-negeri.

“Sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri Raja-Raja Melayu diperuntukkan kuasa pemutus sekiranya terdapat percanggahan dalam interpretasi hukum dan perjalanan urusan Islam malah tidak boleh dipersoal oleh Kerajaan Persekutuan.

“Justeru itu, sebagai rakyat Malaysia institusi Raja-Raja Melayu wajib dipertahankan dengan sebaiknya,” ujarnya.

Sedangkan katanya di zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH) muncul banyak kenyataan di laman sosial yang mempersenda institusi Raja-raja Melayu, agama Islam dan orang Melayu.

Sementara itu Dewan Muslimat PAS Perlis turut merakam ucapan merafak sembah setinggi tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sempena ulangtahun hari keputeraan baginda hari ini. – HARAKAHDAILY 7/6/2021

- Advertisement -