PKRC di Kelantan masih mampu tampung pesakit

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di negeri ini masih mampu menampung keperluan pesakit Covid-19 memandangkan bilangan kes harian di bawah 600.

Walau bagaimanapun Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dato’ Dr Zaini Hussin berkata, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenal pasti beberapa pusat PKRC sebagai persediaan sebarang kemungkinan berlaku peningkatan kes di negeri ini.

- Advertisement -

“Tetapi sekiranya kes harian meningkat, kita akan membuka PKRC baru dan kita telah mengenal pasti beberapa tempat antaranya Institut Belia Negara, Bachok yang berkapasiti dapat menempatkan seramai 300 hingga 400 orang.

“Kita telah membuat persiapan awal sebagai ‘standby mood’,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai melawat PKRC Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Kelantan (JKKN) di Tanjung Chat, di sini, yang mula beroperasi hari ini.

Hadir sama, Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir dan Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Selasawati Ghazali.

Zaini berkata, setakat ini terdapat 15 PKRC di Kelantan membabitkan lebih 1,800 pesakit.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, setakat ini pihaknya juga tidak merancang untuk memberi suntikan vaksin secara pandu lalu.

Ia berikutan tiada garis panduan daripada KKM berhubung sistem berkenaan, katanya.

Beliau berkata, sehingga kini bilangan individu yang telah mengambil suntikan vaksin bagi dos pertama adalah sebanyak 144,000 orang, manakala seramai 55,000 orang telah mengambil suntikan vaksin bagi dos kedua. – HARAKAHDAILY 6/6/2021

- Advertisement -